KOTA BHARU – Jemaah salah satu dalam kumpulan yang terlibat dalam insiden solat dua imam di Masjid Pondok Banggol Stol didakwa menggunakan sebuah buku mengandungi wirid dan zikir yang diragui sebagai rujukan.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, penyiasatan awal pihaknya mendapati kumpulan tersebut melakukan ibadah dan sebagainya berpandukan buku berkenaan.
Kita dapati kumpulan tersebut mengikut amalan buku yang bertajuk “Meniti Jalan Hidayah Menuju Tarekat Khatmul Auliak” karya Mohd Bakri yang mana kandungannya mengandungi fahaman yang meragukan.
“Kita tidak memfatwakan Tarekat Tijani atau sebagainya, kita hanya fatwakan wirid-wirid yang ada dalam buku tersebut kepada sebarang penggunaan tanpa kawalan kerana bukan semuanya tidak boleh digunakan, tetapi ada di antara kandungannya diragui,” katanya semalam.