ARTIKEL SEBELUM

7/07/14

Muhyiddin Yassin layak jadi idola Perkasa dan Isma – Guan Eng

247745_515944561768983_1820465994_n  

Perilaku Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berterusan menyebar kebencian kaum serta memberi amaran tidak mustahil 13 Mei 1969 akan berulang menunjukkan bahawa beliau hanya layak menjadi contoh teladan kepada Perkasa dan Isma, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Muhyiddin bukan saja tidak bertanggungjawab tetapi menunjukkan bahawa beliau hanya layak menjadi contoh teladan kepada NGO sayap kanan seperti Perkasa dan Isma sebagai seorang pentaksub serta pelampau dan sama sekali tidak layak menjadi Timbalan Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.

“Beliau nampaknya semakin membina reputasi sebagai ‘poster boy’ Perkasa dan Isma selepas memalukan prinsip 1Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila menyatakan dirinya adalah ‘Melayu dulu, Malaysia kemudian’.

“Dengan mengamalkan sikap bermusuhan, dapatlah kita simpulkan bahawa Muhyiddin bukan saja tidak hormat, malah tidak bertolak-ansur terhadap bukan-Muslim dan bukan-Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Guan Eng menyarankan parti komponen BN supaya memberi kata dua kepada Muhyiddin yang tidak henti mengeluarkan kata-kata bersifat kebencian dan perkauman.

“8 orang Menteri Kabinet iaitu 2 MCA, 2 MIC, satu Gerakan, satu Parti Bersatu Sabah (PBS), satu Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan satu dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu mendesak Muhyiddin menarik semula kenyataannya atau mereka ini meletakkan jawatan sebagai tanda protes.

“Kegagalan berbuat demikian hanya akan menunjukkan bahawa 6 parti komponen BN dan menteri mereka menerima serta membenarkan kenyataan melampau Muhyiddin terhadap bukan-Muslim,” tegas Ahli Parlimen Bagan itu.

Mengulas isu sama, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya semalam berkata bahawa amaran Muhyiddin itu jelas menunjukkan betapa kerajaan telah gagal mengekalkan semangat kebersamaan antara anggota masyarakat Malaysia.

Menurut Kit Siang, kegagalan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini telah terpampang nyata.

“Tugas pertama mana-mana Kerajaan Persekutuan di Malaysia, tidak kira sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) adalah memastikan 13 Mei tidak berlaku lagi.

“Apabila sesebuah kerajaan membenarkan hubungan antara kaum semakin buruk dan memberitahu rakyat bahawa ’13 Mei mungkin berulang’, kerajaan ini jelas kehilangan moral dan justifikasi politik untuk terus memerintah negara,” katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan bahawa Kabinet dan kepimpinan tertinggi BN perlu mengadakan mesyuarat tergempar kerana negara sedang berdepan situasi paling kritikal.

“Jika tidak ada sebarang mesyuarat tergempar dibuat, rakyat pasti tertanya-tanya apakah Muhyiddin memberi lesen kepada sekumpulan kecil pelampau supaya terus mengamalkan sikap perkauman,” ujar Kit Siang. -Roketkini.com

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud