Sikap berat sebelah polis dipertikaikan kerana mengambil tindakan berbeza terhadap kelakuan jenayah yang dilakukan oleh orang awam dan yang dilakukan oleh anggota parti pemerintah.
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menyifatkan tindakan polis yang pantas membawa Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin atau Kiki ke muka pengadilan adalah wajar, namun beliau menyatakan kehairanan kerana belum ada sebarang tindakan diambil terhadap kumpulan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan yang merusuh di Ibu Pejabat DAP, dua bulan lalu.
“Dalam masa lebih kurang satu minggu, Kiki yang bertindak ganas setelah kereta barunya digesel dan video perilakunya tersebar ke seluruh negara, terus disiasat, didakwa dan diadili.
“Beberapa persoalan timbul, kenapa begitu pantas pihak polis bertindak dalam keadaan bukti terhad. Tetapi masih belum bertindak terhadap perusuh-perusuh Ibu Pejabat DAP meskipun banyak laporan berita dan dokumentasi dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kiki, wanita pemilik kereta Peugeot 208 yang mengamuk dan merosakkan kereta seorang lelaki warga emas menggunakan pengunci stereng di tempat meletak kenderaan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kuantan ditahan polis untuk membantu siasatan.
Beliau setelah itu didenda RM5,000 dan diperintah melakukan khidmat masyarakat 240 jam oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang boleh membawa penjara maksimum dua tahun, dengan denda atau kedua-duanya.
Sebaliknya, kata Lip Eng, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii yang mengugut mahu membakar Ibu Pejabat DAP bukan saja masih bebas, malah mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab “balik Tongsan” terhadap isteri Ahli Parlimen Tanjung Ng Wei Aik.
“Rusuhan pemuda-pemuda Umno itu dirakam pelbagai pihak, malah dirakam dan disaksikan pihak polis sendiri.
“Tapi sehingga hari ini tidak ada seorang pun pelakunya diberkas, ditahan apatah lagi didakwa,” kata Lip Eng. –