ARTIKEL SEBELUM

5/07/14

Anwar enggan ulas isu ganti menteri besar Selangor

Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini kurang berminat membicarakan soal penyingkiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Ditanya mengenai "plot" menyingkirkan Khalid dan digantikan dengan Presiden PKR dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Datuk Seri Dr Wan AzizahWan Ismail, Anwar berkata mereka "sedar akan kebimbangan itu".

"Ia bukan berkenaan plot tetapi lebih kepada kebimbangan. Beliau sedar. Saya sedar."Tetapi apa sahaja keputusan yang akan diambil, akan dilakukan secara baik," kata Anwar selepas berbuka puasa di Taman Guar Perahu, Permatang Pauh.

Anwar yang merupakan ketua umum PKR, seolah-olah mengelak apabila menjawab soalan mengenai kedudukan menteri besar Selangor itu.

Beliau berkata perkara mengenai Dr Wan Azizah mengambil alih kerajaan negeri "belum keluar lagi".

Beliau berkata, terdapat banyak kebimbangan di Selangor mengenai isu-isu seperti air dan projek Kinrara-Damansara Expressway (Kidex), yang secara meluas dibantah oleh rakyat.

"Saya mengambil kira semuanya. Saya amat menyedari dan mendengar semua pihak serta berbincang dengan rakan-rakan kami dalam DAP dan PAS.

"Tetapi ia perlu dilakukan secara baik dengan persetujuan semua pihak," kata beliau sambil menambah bahawa apa sahaja keputusan berkenaan, beliau bersetuju ia perlu dilakukan dengan cepat.

Bagaimanapun, Anwar tidak menyatakan sebarang tempoh.

Apabila ditanya jika rakyat Selangor akan diajak berunding, katanya ia dicadangkan oleh beberapa pemimpin negeri.

"Bagaimana untuk melakukannya? Menjalankan kaji selidik?

"Ia terpulang kepada pemimpin parti dan para Adun," katanya.

Anwar juga menafikan beliau baru-baru ini bertemu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membincangkan kedudukan menteri besar itu.

Hadi dikatakan penyokong kuat Khalid.

"Saya pergi berjumpa beliau bersama isteri dan anak perempuan saya (Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah) sebagai kawan.

"Kita bercakap tentang kesihatan dan keluarganya. Kami tidak menggunakan masa beliau tidak sihat untuk bercakap tentang politik dan isu lain," kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Dilaporkan tempoh Khalid sebagai menteri besar semakin suntuk kerana terdapat plot menyingkirkannya selepas Hari Raya.

Terdapat juga berita bahawa Dr Wan Azizah akan menjadi menteri besar yang baru.

Anwar juga diminta mengulas mengenai tuduhan Putrajaya terhadap beliau yang dikatakan mencemar imej Malaysia kepada media New Zealand, mengatakan negara ini cuba menutup kes serangan seksual melibatkan diplomat di Wellington.

Anwar berkata, beliau bercakap tentang surat dari Malaysia kepada Kementerian Luar Negeri New Zealand agar menggugurkan pertuduhan terhadap diplomat, Pegawai Waran 2 Muhammad Rizalman Ismail yang didakwa melakukan kesalahan pada Mei terhadap seorang wanita berusia 21 tahun.

"Saya rasa kerajaan perlu menjawab. Sekarang terdapat tekanan, ia tidak boleh... Konvensyen Geneva menyatakan kekebalan diplomatik ialah untuk melindungi kepentingan negara, bukan individu yang melakukan jenayah," katanya.

Putrajaya mengumumkan Rizalman dihantar kembali ke New Zealand untuk menjawab segala pertuduhan. - TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud