KUALA LUMPUR: Melalui kemenangan BN pada PRK Teluk Intan, sebagaimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri sendiri, Datuk Mah Siew Keong akan dilantik menjadi menteri atas kapasitinya sebagai Presiden Gerakan.
“Melalui beberapa janji yang terkandung dalam manifestonya pula, pembinaan sebuah universiti tentulah antara yang paling ditunggu-tunggu oleh penduduk Teluk Intan,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya semalam.
Menurutnya, melalui beberapa janji menteri yang lain lain pula seperti wifi yang lebih laju, pembangunan yang lebih banyak, pembinaan lebuh raya Banting-Taiping yang dijanji dipercepatkan, uniform untuk anggota Rela dan sebagainya, semuanya itu sedang dinanti oleh penduduk Teluk Intan walaupun Mah berkata, semua itu bukan janjinya dan beliau tidak terikat dengannya.
Namun, katanya jika semua janji itu tidak ternampak bayangnya atau sebatang tiang pun gagal dinaikkan menjelang pilihan raya 2018 nanti, tidak mustahil kerusi Teluk Intan ini kembali semula ke pangkuan DAP.
“Meskipun ada kemungkinan sesetengah pemimpin Umno bersikap agak sombong dan poyo dengan kejayaan merampas kerusi Teluk Intan ini daripada DAP, tetapi secara keseluruhannya pola pengundian masih menjanjikan persaingan yang sengit dalam pilihanraya umum akan datang. Najib, Umno dan BN belum boleh bersenang-lenang lagi,” tulisnya lagi.
Pada PRK Teluk Intan semalam, BN berjaya merampas kembali kerusi parlimen itu yang kali terakhir pernah dimenanginya pada 2004 dahulu.
Dengan peratusan keluar mengundi begitu menurun iaitu hanya sebanyak 66.5 peratus, Mah memperolehi 20,157 undi manakala Dyana Sofya meraih 19,919 undi. Undi rosak pula sebanyak 550.