TELUK INTAN - Polis Perak menerima sebanyak 21 laporan polis berhubung kesalahan pilihan raya sepanjang dua minggu kempen PRK Parlimen Teluk Intan berlangsung, sejak 19 Mei lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka dan dirujuk kepada Ketua Unit Pendakwaan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, antara laporan yang diterima termasuklah berkaitan jenayah kekerasan seperti ugutan pukul dan bunuh serta kesalahan lain yang dilakukan di bawah Akta Kesalahan Pilihan raya 1954.
Katanya, setakat ini beliau berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya yang berjalan tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.
“Saya telah melakukan pemantauan dari udara menaiki helikopter dan mendapati situasi amat tenang serta proses pengundian berjalan dalam keadaan baik.
“Anggota kami telah membuat persediaan awal dan sentiasa dalam keadaan bersiap siaga pada setiap masa,” katanya ditemui selepas melawat pusat daerah mengundi (PDM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Acryl Sani berkata, setakat ini polis masih belum membuat sebarang tangkapan pada mana-mana individu atau kumpulan berkaitan aktiviti perjudian sepanjang tempoh PRK.
“Kami akan memantau situasi tersebut dari semasa ke semasa serta mengumpul segala maklumat berkaitan perkara itu tetapi setakat ini, tiada tangkapan dibuat,” jelasnya.