ARTIKEL SEBELUM

2/06/14

Ku Li persoal pembayaran pinjaman tanpa faedah Bank Rakyat kepada Deepak

 Polisi Bank Rakyat yang membenarkan peniaga permaidani Deepak Jaikishan membayar pinjaman RM32 jutanya tanpa faedah turut membuatkan bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkannya kerana peniaga Bumiputera juga tidak mendapat perjanjian istimewa sebegitu. – Gambar The Malaysian Insider, 2 Jun, 2014.

Bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah turut mempersoalkan polisi Bank Rakyat untuk membenarkan peniaga permaidani Deepak Jaikishan membayar pinjaman RM32 jutanya tanpa faedah, mengatakan ianya bukan amalan biasa perbankan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, peniaga Bumiputera juga tidak mendapat perjanjian istimewa seperti itu apabila membuat pinjaman dengan bank kerajaan, walaupun Putrajaya mempunyai polisi perniagaan pro-Bumiputera.

“Melihat kepada fasiliti kewangan yang diperdebatkan dalam kes ini, saya tidak fikir ianya betul,” kata pemimpin veteran Umno itu yang menjadi menteri kewangan dari 1976 hingga 1984.Putera Raja Kelantan yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu turut mempersoalkan polisi kerajaan mana diikuti Bank Rakyat apabila memberikan kemudahan kepada pelanggan seperti Deepak.

“Di bawah polisi kerajaan yang mana diikuti bank apabila memberikan fasiliti seperti itu di atas permintaan pelanggan?

“Apakah polisi Bumiputera? Dia bukan Bumiputera,” katanya merujuk kepada laporan Bank Rakyat, bersetuju membenarkan ahli perniagaan kontroversi Deepak untuk menyelesaikan pinjaman RM32 jutanya tanpa sebarang faedah.

Bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik mendedahkan kepada The Malaysian Insider minggu lepas Deepak menggunakan pengaruh politiknya untuk menyelesaikan pinjamannya dengan campur tangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Bank milik kerajaan itu tidak berada di bawah seliaan Bank Negara dan tidak termaktub kepada undang-undang perbankan negara.

Sabbaruddin mengatakan pada mulanya, ahli lembaga pengarah sudah menolak tawaran Deepak untuk menyelesaikan hutang tertunggaknya.

Deepak dikatakan menawarkan penyelesaian mudah bagi menyelesaikan baki pinjamannya dengan tempoh bayaran selama 10 tahun melalui 120 keping cek "post dated".

Sabbaruddin mengatakan selepas keputusan lembaga pengarah bank itu, Hasan tidak gembira dan enggan menandatangani kontraknya sebagai pengerusi bank yang berakhir pada 8 April.

Sabbaruddin juga mendakwa, menteri itu bertemu dengan Deepak tanpa pengetahuan Bank Rakyat pada Januari.

Selepas pendedahan Sabbaruddin, Bank Rakyat dalam satu kenyataan mengatakan elemen faedah tidak timbul dalam mekanisme kewangan Islam.

Bank Rakyat bagaimanapun tidak menafikan tuduhan Sabbaruddin.

Beberapa hari lalu, Hasan memberitahu The Malaysian Insider, semuanya dilakukan mengikut prosedur.

Beliau turut mencabar mana-mana pihak membuktikan dirinya melakukan kesalahan kerana meyakinkan Bank Rakyat untuk memberikan kemudahan pembayaran pinjaman tersebut kepada Deepak.

Sehingga kini, Deepak masih belum memberikan respon kepada dakwaan Sabbaruddin.- TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud