KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk dikalangan BN sendiri mula meluahkan kebimbangan dengan rang undang-undang perumahan baharu yang akan dibentang di Dewan Undangan Negeri Johor, Isnin ini.
Rang Undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah 2014 ini bakal memberi kuasa meluas kepada Sultan tentang isu perumahan dengan penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor.
Menurut laporan, ia merupakan enakmen pertama seumpamanya yang akan dibentangkan dengan Sultan Johor diberi kuasa untuk melantik ahli lembaga, menyelia akaun dan juga untuk membubar lembaga berkenaan.
Ramai melihat, jika perkara ini berlaku, ianya dibimbangi berlaku pertindihan kuasa istana dengan kuasa eksekutif.
The Star dalam laporannya mendakwa, dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang tidak mahu dikenali, mahu Rang Undang-Undang ditangguh untuk membolehkan lebih banyak masa untuk menelitinya.
"Kuasa untuk menubuhkan lembaga ini terletak pada Dewan Undangan Negeri Johor dan oleh itu, kuasa untuk membatalkan atau membubarkan ia perlu di DUN," kata seorang daripada ahli dewan.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang Johor dari DAP Dr Boo Cheng Hau, turut melahirkan kebimbangan berkata, Pakatan Rakyat akan membuat pendirian rasmi selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri pada Ahad.
Sementara itu Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula menegaskan penglibatan Sultan Johor Sultan Ibrahim dalam Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor yang akan ditubuhkan kerajaan negeri bukan menjadi satu isu kerana kuasa eksekutif dipegang menteri besar.
Mohamed Khaled berkata menteri besar adalah pengerusi secara automatik dan apa-apa tindakan Sultan Johor adalah atas nasihat menteri besar. - HARAKAHDAILY