ARTIKEL SEBELUM

12/06/14

Ini punca kekalahan DAP di Telok Intan

 Ada kesilapan dalam strategi kempen DAP di Teluk Intan hingga menyebabkan calon popular mereka, Dyana Sofya Mohd Daud tewas kepada calon Barisan Nasional dengan majoriti yang kecil. Gambar fail The Malaysian Insider.

Kesilapan strategi kempen yang memfokuskan kepada kawasan bandar di antara penyebab kekalahan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada 31 Mei lalu kerana parti itu gagal menjelaskan mengapa mereka meletakkan calon tidak berpengalaman dan tidak begitu biasa dengan pengundi, menurut tinjauan terbaru Merdeka Center.

Tinjauan yang melibatkan 404 pengundi Teluk Intan pada hujung minggu lalu menunjukkan Barisan Nasional (BN) berjaya mendekati hampir semua segmen pengundi, berbanding DAP dan sekutunya - mendekati lebih ramai lelaki berbanding perempuan di kawasan bandar.

Dyana Sofya kalah dengan 238 undi kepada calon BN, Datuk Mah Siew Keong, presiden Gerakan yang pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen Teluk Intan selama dua penggal sebelum kalah pada 2008.“Keputusan pilihan raya menunjukkan pengundi tidak boleh diabaikan dan akan memberi pengajaran kepada parti sekiranya diberi peluang,” kata Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.

“DAP masih perlu melakukan banyak perkara sebelum diterima oleh komuniti Melayu tetapi peningkatan undi kaum itu menunjukkan mereka melakukan perkara betul,” kata badan tinjauan bebas itu.

Dalam satu tinjauan yang ditanggung oleh The Malaysian Insider, Merdeka Center mendapati 13% responden mengundi parti berbeza daripada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lalu, dengan 29% mengatakan mereka berbuat begitu kerana mahu melihat lebih banyak perubahan.

Menurut tinjauan itu, pengundi merasakan politik pembangunan dan calon tempatan BN merupakan kunci kepada kemenangan BN.

Kajian mendapati 14.7% merasakan DAP kalah kerana Dyana Sofya tidak berpengalaman sementara 9.4% mengatakan ia adalah kerana beliau bukan anak tempatan dan 11.7% percaya ramai pengundi muda tidak pulang mengundi dalam PRK itu.

Tinjauan itu juga mendapati DAP tidak berjaya memberikan penjelasan di semua tempat mengapa mereka meletakkan calon tidak berpengalaman itu sementara BN berjaya meliputi hampir keseluruhan kawasan Teluk Intan.

72% daripada responden yang ditinjau dari 6 Jun hingga 8 Jun berkata mereka menerima mesej daripada pasukan kempen BN melalui telefon bimbit mereka berbanding hanya 31% yang menerima daripada DAP.

“Apabila mencuba idea atau pendekatan baharu, kempen informasi secara massa diperlukan untuk menjelaskan sebabnya kepada pengundi; sebab itu jangkauan komunikasi pilihan raya penting. Kempen atas talian sahaja tidak mencukupi,” kata Ibrahim.

Sementara 35% pengundi berkata mereka berinteraksi dengan pasukan kempen BN di Teluk Intan dan hanya 23% berinteraksi dengan pasukan kempen DAP.

Kajian juga menunjukkan DAP tertinggal di belakang kerana Mah biasa dengan penduduk Teluk Intan.

Hampir separuh (45%) responden yang mengundi BN bulan lalu berkata Mah berbanding BN merupakan sebab utama pilihan mereka.

Presiden Gerakan itu lahir dan dibesarkan di kawasan Parlimen tersebut tetapi Dyana Sofya tidak dikenali sebelum diletakkan sebagai calon; peranan peguam muda itu dalam politik sebelum kempen PRK Teluk Intan hanya sebagai pembantu Lim Kit Siang.

65% peratus responden yang mengundi Dyana Sofya melakukannya kerana parti dan bukan kerana pencalonannya.

Ini berlaku ketika DAP meletakkan Dyana Sofya sebagai wajah “politik baru”, berkata jika beliau menang, beliau akan mewakili anak muda dan golongan wanita di Parlimen dan akan menamatkan politik perkauman.

Tetapi Mah menang walaupun partinya dan BN tidak popular di kawasan itu, mendapat 23,157 undi berbanding Dyana Sofya yang hanya mendapat 19,919 undi, walaupun penganalisis meramalkan DAP akan mempertahankan kerusi Teluk Intan.

Dengan menguasai kerajaan pusat, BN dan Mah mampu menjanjikan pembangunan disokong kerajaan untuk Teluk Intan dan 13.5% berkata mereka percaya BN menang kerana menyediakan bantuan kebajikan sosial.

27.9% responden India berkata mereka percaya BN menggunakan pemberian, bantuan kewangan dan barangan kepada pengundi.

Pemimpin BN seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjanjikan pakaian seragam percuma kepada anggota Rela di Teluk Intan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengatakan wifi internet percuma jika Mah menang dalam PRK itu.

55% daripada responden juga merasakan BN bercakap mengenai isu yang mahu didengar oleh penduduk Teluk Intan berbanding 33% yang merasakan perkara sama dengan DAP.

Kajian itu mendapati kos sara hidup dan isu tempatan memberi kesan kepada pengundi berbanding isu seperti hudud atau skandal rasuah.

Manifesto Dyana Sofya bergantung sepenuhnya kepada isu nasional seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), peningkatan kos kehidupan dan rasuah.

Beliau kelihatan senyap mengenai isu tempatan yang memberi kesan kepada penduduk Teluk Intan seperti isu pembangunan dan infrastruktur walaupun 65% daripada pengundi terlibat dalam industri berasaskan pertanian.

Sementara Mah mengambil kesempatan dengan menjanjikan universiti untuk Teluk Intan dan berjanji mengubah kawasan itu menjadi hub industri berasaskan pertanian dan pelancongan.

Beliau mengelak daripada menyatakan pendirian terhadap isu nasional apabila ditanya pemberita sebaliknya memberitahu beliau hanya mahu memberikan tumpuan kepada keperluan penduduk Teluk Intan.

Dalam ceramah di sekitar Teluk Intan, DAP berhujah sia-sia mengundi seseorang pemimpin yang sudah tentu akan tunduk kepada polisi tidak popular Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti GST.

Tetapi 26% responden yang ditinjau berkata mereka lebih risau tentang siapa yang boleh membawa pembangunan kepada Teluk Intan.

Mesej Dyana Sofya bagaimana beliau mewakili politik tidak berasaskan kaum hanya menarik perhatian responden India (41%); 14% Melayu dan 17% responden Cina.

Responden tinjauan itu dipilih secara rawak mengikut kaum, jantina, umur dan kawasan mengundi. Mereka ditinjau menggunakan telefon.

43% daripada responden merupakan Cina, 38% Melayu dan 19% India. Lelaki dan perempuan ditinjau secara seimbang dan semuanya berumur 21 tahun ke atas.

Kerusi Teluk Intan mempunyai 23,301 pengundi Melayu (38.6%), 25,310 Cina (41.9%) dan 11,468 pengundi India (19%). – 

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud