Pas Kelantan tetap tidak akan berganjak untuk melaksanakan hudud sekalipun ditentang rakan sekutunya DAP dan terbaru pula, MCA.
Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Datuk Hassan Mahmood, yang menegaskan demikian hari ini, yakin Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dapat dilaksanakan di negeri ini tahun depan biarpun mendapat tentangan hebat.
Hassan berkata, sememangnya terdapat banyak halangan dan tidak ada kata sepakat dalam PR berhubung hudud, namun ia tidak menjadi masalah kerana masih dalam proses penjelasan terperinci bagi memberi pemahaman.
“Ini peringkat permulaan, memanglah, bukan sahaja DAP dan MCA yang berkeras tidak mahukan hudud, malah orang Islam sendiri pun takut kerana ramai masih tidak memahami perkara sebenar.
“Kita tidak berasa ini sebagai ancaman terhadap usaha Kelantan, yang telah mendapat sokongan Umno, untuk melaksanakan hukuman hudud di negeri ini. Kita tidak akan berganjak dan akan teruskan usaha membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen nanti,” katanya hari ini.
Beliau mengulas pendirian MCA yang bersedia membincangkan semula kedudukan parti itu dalam BN jika Umno menyokong rang undang-undang pelaksanaan hudud.
Mengulas perancangan sebuah parti komponen BN yang difahamkan akan menggerakkan jenteranya mengutip tandatangan daripada bukan Islam supaya tidak menyokong hudud di Kelantan hari ini, Hassan menyifatkan itu hak pihak tersebut berbuat demikian.
“Perkara ini dibuat kerana mereka tidak faham. Insya-ALLAH selepas mereka memahami, perkara ini akan selesai. Kita juga sedia berdialog dengan mereka,” katanya.