ARTIKEL SEBELUM

9/05/14

TG Nik Abdul Aziz bidas pensyarah

 

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas kenyataan pensyarah yang mengatakan hukum hudud gagal ekoran kegagalan pelaksanaan hukum jenayah syariah itu di beberapa buah negara.

Bagi beliau, tindakan pensyarah seperti itu bukannya mahu menghidupkan Islam sebaliknya mematikan agama itu.

"Ni pensyarah macam ni, para hadirin semua, pensyarah yang orang panggil nak perhidup Islam dak, nak mapuh Islam," ujarnya ketika menyampaikan kuliah di Medan Ilmu, di sini pagi tadi.

Beliau berkata, pensyarah yang menyatakan demikian kerana dia berfikir 'cara orang' dan tidak memikirkan 'cara Allah'.

"Para hadirin semua, kalau hudud ni gagal, sembahyang ni, kerana apa kita sembahyang?" tanya beliau kepada para hadirin.

Jelasnya, sembahyang boleh menyekat manusia daripada melakukan perkara keji.

Bagaimanapun, katanya dalam suasana orang mengerjakan sembahyang tetapi perkara yang keji seperti berjudi, rasuah dan masalah dadah berlaku juga.

"Sembahyang, sembahyang berjudi, berjudi, ertinya sembahyang ni gagal. Bila sembahyang ni gagal kerana benda keji, judi, dadah, rasuah berlaku jugak, tak usah duk sembahyang banglah. Sembahyang pun ada jugak benda mungkar. Bodoh pensyarah macam ni," ujarnya sinis.

Beliau juga mengambil contoh di negara ini ramai yang djatuhi hukuman gantung kerana kesalahan berkaitan dadah dan senjata api.

Bagaimanapun, kata beliau kesalahan kes dadah dan membawa lari senjata api masih berlaku yang menunjukkan hukuman tersebut telah gagal.

Sehubungan itu, katanya, pensyarah agama hanya boleh menjelaskan mengenai hukum hudud tetapi tidak boleh melaksanakannya.

Di Kelantan, jelasnya ada kerajaan negeri yang mana exco terdiri daripada pensyarah, peguam, korporat dan lain-lain untuk melaksanakan hukum hudud.

Menurutnya, penentangan terhadap hukum hudud kerana tiada pengisian takwa akibat kelemahan dasar negara sekular.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu mengulangi penegasan tidak timbul PAS dan Umno bersatu berhubung isu hukum hudud.

Katanya, walaupun tarikh bulan Rejab dan Mei hari ini adalah sama bermula 1 haribulan Khamis lalu, namun bulan Hijrah tidak sama dengan Masihi.

"Hari ni hari Jumaat, 9 Rejab dan bulan ni tarikh dia serupa di antara bulan Hijrah dengan bulan Masihi, sama-sama 9.

"Oleh kerana sekarang timbul masalah hudud, sibuk sokong hudud, Umno sama dengan PAS, adakah bermakna PAS nak masuk Umno?

"Hari ni 9 haribulan, bulan Masihi 9 jugak, adakah bulan Hijrah sama dengan bulan Masihi, adakah bulan Masihi jadi bulan Hijrah, bulan Hijrah jadi bulan Masihi? Tak jadi, Rejab duk Rejab situ jugak, Mei duk Mei situ jugak," ujarnya. - HD

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud