Tindakan provokasi yang berlaku pada Himpunan Bantahan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) semalam hanya bersifat sementara dan dilakukan oleh pihak yang tidak bermoral dan cetek pemikirannya.
Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani mendakwa, perbuatan itu dilakukan oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan (politik) tanpa memikirkan tahap keselamatan dan keamanan negara.
"Perbuatan itu bakal menggembirakan dan menjadikan dia (pencetus provokasi) dinobatkan sebagai 'cai terhormat'.
"Setiap kali perhimpunan aman, ada saja provokasi dibuat dan saya tidak terkejut perkara sebegitu menjadi mainan biasa bagi orang yang hendak menjahanamkan negara sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut penyebaran gambar di internet semalam didakwa seorang peserta Himpunan Bantah GST ditikam ketika sedang mengikuti perhimpunan aman itu.
Malah perkara itu juga disahkan palsu oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad pada hari sama.
Mengulas lanjut, Abdullah menambah, perbuatan menimbulkan provokasi tersebut perlulah ditangani dengan profesional dan matang.
"Saya yakin dan percaya provokasi seperti ini sebenarnya tidak boleh berkembang kerana perkara yang benar itu akan terjelma apabila maklumat, bukti berfakta itu diketengahkan," katanya lagi.