KUALA LUMPUR: Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard di antara mereka yang dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Chegu Bard dari Cabang Rembau diberi surat tunjuk sebab serta digantung keahlian parti serta merta sehingga siasatan selesai.
Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Chegu Bard telah membuat kenyataan media yang mendakwa proses pemilihan adalah kotor dan tidak telus.
Siasatan Lembaga Disiplin juga mendapati, beliau turut membuat dakwaan terbuka dengan menyatakan 'Petugas JPP menjadi agen kepada Azmin Ali' pada 12hb Mei 2014 dan disiarkan dalam laman mysuara.net dan Free Malaysia Today.
"Responden telah juga membuat kenyataan terbuka mengkritik JPP dalam akhbar Berita Harian pada 21hb Mei 2014 bertajuk 'Keputusan penuh penipuan: Chegubard'," katanya dalam satu kenyataan.
Beberapa kes dibentangkan dalam mesyuarat biropolitik bertarikh 27 Mei 2014 yang dipengerusikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Antara keputusan yang dicadangkan lembaga ini dan dipersetujui oleh biropolitik melibatkan pemecatan seorang ahli anggota PKR iaitu Md Yusop Kamaruddin daripada cabang Pasir Salak, dan empat anggota digantung keahlian.
Tan Kee Kwong berkata, Yusop dipecat dari PKR kerana telah mengingkari arahan surat penggantungan dan terus menjalankan aktiviti yang mencemar nama baik Parti dengan terus membuat kritikan dan serangan terhadap Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Parti dalam laman sosial Facebook beliau.
Manakala, biropolitik juga telah bersetuju menarik balik penggantungan keanggotaan bagi empat lagi ahlinya yang masing-masing daripada Cabang Kota Raja.
Perkara itu dibuat setelah mendengar hujah dan bukti responden dalam sesi pendengaran pada 24 Mei lalu.