ARTIKEL SEBELUM

29/05/14

Pemilihan PKR: Cabang bermasalah akan mengundi semula pada 31 Mei dan 1 Jun

PETALING JAYA: Sepuluh cabang yang mengalami masalah dalam pemilihan pusat pada awal bulan ini dijadualkan untuk mengadakan proses pengundian semula pada 31 Mei dan 1 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul memberitahu daripada 10 cabang tersebut, lapan daripadanya akan membuat pengundian pada 31 Mei manakala bakinya akan mengadakan pemilihan pada hari berikutnya.

“Cabang-cabang PKR yang akan mengadakan proses pengundian pada Sabtu ini ialah Setiu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, Jerantut, Paya Besar, Pasir Puteh dan Pengerang manakala Cabang Tenggara dan Sungai Petani pula akan mengadakan pemilihan semula pada hari berikutnya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini tengah hari tadi.

JPP sebelum ini telah menggantung proses pemilihan di 35 cabang PKR seluruh Malaysia dimana 10 daripadanya melibatkan cabang di negeri Selangor dimana mencatatkan ramai ahlinya yang bertanding.

Pemilihan PKR ini dijangka akan berakhir pada 22 Jun depan.

Sementara itu, Pengerusi Panel Bantahan (JPP) Abd Malek Hussin berkata 61 cabang PKR telah selesai menjalani sesi pendengaran bantahan dan mereka telah menyelesaikan pendengaran sesi bantahan tersebut mengikut jadual.

“Terdapat 14 cabang di Sabah telah selesai sesi pendengaran bantahan, Zon Pantai Timur yang merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang pula sebanyak 13 cabang telah selesai, Zon Utara pula melibatkan Pulau Pinang, Kedah dan Perak sebanyak 14 cabang,” kata Malek

Zon Selatan yang hanya melibatkan Negeri Sembilan pula hanya melibatkan empat cabang sahaja, lima cabang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 11 cabang di Selangor telah selesai diperdengarkan bantahan mereka.

Terdapat 10 lagi cabang akan dijangka selesai sesi pendengaran bantahannya pada Jumaat ini dan akan meneruskan sesi pendengaran bantahan keatas cabang yang cukup bermasalah di Sarawak seperti di Batang Sadong, Julau dan Sarikei.

Pemilihan PKR kali ini mencatatkan 248 aduan dan bantahan pencalonan daripada 70 cabang seluruh Malaysia.

Kesemua insiden di mana didapati berlakunya kesalahan tatatertib atau tataetika pemilihan atau melanggar disiplin parti akan dibawa ke perhatian Lembaga Disiplin parti untuk tindakan lanjut dan terdapat beberapa anggota PKR telah pun dipecat dan digantung keahlian kerana melanggar tataetika atau disiplin parti.

Terbaru, Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard telah digantung keahliannya serta merta oleh Lembaga Disiplin PKR.

Beliau telah diberi surat tunjuk sebab dan digantung keahliannya serta-merta sehingga siasatan selesai kerana didakwa telah membuat kenyataan media yang mendakwa proses pemilihan adalah kotor dan tidak telus.

Malah, beliau juga dikatakan turut membuat dakwaan terbuka dengan menyatakan 'Petugas JPP menjadi agen kepada Azmin Ali' pada 12 Mei 2014 yang disiarkan dalam laman mysuara.net dan Free Malaysia Today.

Chegubard juga telah juga membuat kenyataan terbuka mengkritik JPP dalam akhbar Berita Harian pada 21 Mei 2014 bertajuk 'Keputusan penuh penipuan: Chegubard'.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud