DAP menolak permohonan maaf Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin atas ancaman dan tindakan anggota pergerakan itu yang melakukan kerosakan ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur semalam.
Pemimpin DAP Ong Kian Ming berkata, permohonan maaf yang dibuat Khairy secara peribadi padanya tidak dapat diterima dan mereka mahu ia dibuat secara terbuka.
Khairy berkata, beliau telah memohon maaf kepada Ong melalui pesanan peribadi di Twitter yang mempertahankan hak anggotanya memprotes tetapi memohan maaf atas kejadian vandalisme yang berlaku.
Dalam perhimpunan semalam, papan tanda besar DAP dirobohkan oleh sekumpulan peserta yang turut mengancam mahu membakar ibu pejabat parti lawannya itu.
Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, Khairy berkata, beliau juga menawarkan untuk membayar untuk kerugian yang berlaku itu.
Ong bagaimanapun berkata, oleh kerana tindakan semalam dibuat secara terbuka, permohonan maaf juga patut dibuat secara terbuka.
“Permohonan maaf secara peribadi tidak boleh diterima,” katanya. - mk