ARTIKEL SEBELUM

1/05/14

Kenyataan Media

 

HIMPUNAN TINDAKAN RAKYAT 1 MEI 2014

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyatakan komitmen bersama dengan PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat, serta seluruh rakyat yang cintakan keadilan untuk menyertai Himpunan Tindakan Rakyat pada 1 Mei 2014 di Dataran Merdeka.

Himpunan 1 Mei ini, akan turut disertai puluhan NGO yang akan berarak dan bergabung di Dataran Merdeka daripada KLCC, Sogo, Masjid Negara, Brickfields dan Dataran Maybank, Pudu, bergerak dari semua lokasi mulai jam 2 petang.

KEADILAN turut menyeru rakyat Malaysia, turun ke Dataran Merdeka bersama-sama membantah pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST), Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), penyalahgunaan kuasa termasuk hakim dan mahkamah, serta penyelewengan dan rasuah yang dilakukan oleh Umno-Barisan Nasional (BN).
KEADILAN percaya kewujudan pelbagai penguatkuasaan cukai seperti yang dicadangkan oleh pentadbiran BN merupakan satu perkara besar yang membawa kesan mendalam kepada rakyat.

BN tidak seharusnya menghukum rakyat apabila mereka gagal mengatasi kelemahan kerajaan, khususnya pada isu asas, seperti kebocoran dana dan kegagalan urus tadbir yang baik.

Sebagaimana penegasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Pakatan Rakyat bangkit menentang GST, TPPA, berleluasanya gejala rasuah, ketirisan dan penyelewengan yang dilakukan Kerajaan BN, kerana ia mengakibatkan rakyat yang terpaksa menanggung beban.

KEADILAN bertegas, selagi tidak wujud perubahan ketara yang menjadi jurang di antara golongan kaya dengan miskin, KEADILAN akan bersungguh-sungguh menentang GST, kerana dalam keadaan inflasi yang masih tinggi secara berterusan, pelaksanaan GST dalam masa terdekat, dijangka akan menambah bebanan sara hidup rakyat.

KEADILAN turut yakin bahawa, rakyat yang akan turun menyertai himpunan ini, merupakan rakyat yang matang dan sesekali tidak akan menimbulkan provokasi sehingga boleh mendatangkan ketegangan. Kita turun bersama-sama untuk mempertahankan rakyat, berhimpun secara aman dalam semangat demokratik yang tinggi.


DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
30 April 2014

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud