ARTIKEL SEBELUM

21/05/14

BN menyalahgunakan premis awam di Telok Intan

 


TELUK INTAN: Pemuda PAS Malaysia hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan BN menyalahgunakan premis awam bagi tujuan berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Ini ekoran ceramah politik yang dijadualkan berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kampung Selabak membariskan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, Adun Kok Lanas, Datuk Alwi Ahmad dan Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Yahya.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan berkata, tindakan BN menggunakan sekolah sebagai lokasi kempen adalah bersalahan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 24 b (7) yang melarang penggunaan premis awam untuk kempen pilihan raya.

"Saya mewakili Pemuda PAS melahirkan rasa dukacita dengan tindakan BN menyalahgunakan premis awam bagi tujuan politik kepartian dalam tempoh berkempen ini.

"Ianya juga telah melanggar etika pentadbiran kerajaan yang telus dan amanah berikutan membenarkan penggunaan sebuah premis milik kerajaan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri," katanya ketika ditemui Harakahdaily sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Hilir Perak, Teluk Intan.

Hadir sama Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Khairie Jamaluddin dan pimpinan Pemuda PAS Teluk Intan.

Beliau menggesa pihak polis mengambil tindakan sewajarnya dengan merujuk kepada akta kesalahan pilihan raya yang jelas tidak membenarkan tindakan BN itu.

Sany menjelaskan, jika BN dibenarkan menggunakan premis awam untuk berkempen, PAS menuntut agar keadilan diberikan dengan membenarkan juga pihak DAP untuk turut berbuat demikian.

"Masuklah pilihan raya dengan padang yang sama rata, janganlah menyalahgunakan kuasa dalam persaingan demokrasi," tegasnya lagi. - Harakahdaily

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud