Beberapa orang anggota PKR yang ditemui selepas membuang undi bagi pemilihan parti hari ini memberi reaksi berbeza ke atas pengenalan sistem baru menggunakan nombor calon dalam kertas undi.
Seorang daripadanya seorang guru seorang guru tuisyen yang ingin dikenali sebagai Woon berkata, sistem berkenaan memberi masalah kepadanya kerana sistem nombor calon itu mengelirukan.
Katanya, format borang sistem baru itu mengelirukannya namun bahan rujukan yang disediakan di tempat pengundian itu membantu proses pengundian tersebut.
"Sebenarnya sistem nombor dengan banyak kertas lampiran calon dan format borang mengelirukan.
"Format borang itu, pada saya bercampur-aduk. Nasib baik ada buku rujukan di dalam tempat undi," katanya ketika ditemui selepas membuang undi di Dewan Serbaguna Kampung Pandan Dalam hari ini.
Bagaimanapun, ada juga pengundi yang berasa selesa dengan sistem baru tersebut dan berpendapat ia dapat menjimatkan masa.
Seorang pesara, Mohamad Yunus Abdullah, 66, pula berkata ia memudahkan pengundi kerana mereka hanya perlu menanda nombor calon di kertas undi.
"Senang. Sistem baru ni memudahkan, contoh Tan Sri Khalid Ibrahim nombor undi nombor 3. Jadi dekat dalam (tempat buang undi) tulis nombor 3.
"Lagipun cepat. Kita ingat nombor calon sahaja. Tulis nombor lepas tu keluar saja. Cara ini bagus, tak payah beratur panjang-panjang," katanya.
Seorang lagi pengundi, yang hanya mahu dikenali sebagai Chew, 41, berpendapat ia menjimatkan masa memandangkan terlalu ramai calon yang bertanding.
"Cara ini pada saya OK. Sebab ramai sangat calon bertanding, contohnya (kertas undi) untuk calon lelaki cabang Pandan dan calon pusat semua empat muka surat.
"Calon cabang wanita pula lima muka surat, (jadi) guna sistem nombor lebih baik berbanding sistem pangkah seperti dalam pilihan raya umum," katanya yang berharap sistem itu digunakan lagi pada pemilihan parti akan datang.
Dalam pada itu, MP Pandan Rafizi ketika ditemui di pusat penungdian hari ini mengakui bahawa sistem baru itu menimbulkan kekeliruan kerana pengundi perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri.
Bagaimanapun, petugas pemilihan sedia membantu pengundi untuk menanda kertas undi tersebut, katanya.
"Memang ada kekeliruan, biasalah sistem baru. Ia ambil masa untuk difahami pengundi. Selalunya ada orang Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan petugas pemilihan akan cuba ajar pengundi," katanya.
Isu berhubung penggunaan borang tersebut antara lainnya dibangkitkan oleh naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang mencadangkan agar parti itu kembali menggunakan sistem yang diamalkan sebelum ini.