PETALING JAYA: Pasukan 'Masa Depan Bersama' yang terdiri daripada tiga calon pemilihan PKR - Datuk Saifuddin Nasution, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli hari ini menawarkan diri untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurut Saifuddin yang juga Setiusaha Agung PKR dan calon Timbalan Presiden, selain pilihan raya, pemilihan parti juga harus menampilkan calon yang diyakini oleh pengundi di samping berjaya mengemukakan gagasan untuk memenangkan PKR dan Pakatan Rakyat (PR).
Beliau turut membentangkan gagasan yang merupakan tiga tumpuan khusus parti itu bagi memenangi PRU14 seandainya beliau dan pasukannya berjaya memenangi jawatan yang dipertandingkan pada pemilihan PKR Mei nanti.
"Gagasan yang dibentangkan perlulah praktikal dan bukan retorik politik tentang siapa lebih setia atau siapa yang lebih bersih. Oleh yang demikian, saya mengambil peluang untuk menjadi calon pertama yang membentangkan pelan khusus memenangi pilihan raya untuk dinilai oleh anggota parti dan pengundi," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR pada Selasa.
Beliau memaklumkan, tiga tumpuan khusus tersebut telah digariskan bersama oleh ketiga-tiga calon dalam pasukannya setelah mengambil pengajaran dari semua pilihan raya yang lepas.
Jelas Saifuddin, tumpuan pertama ialah menarik pimpinan muda dari pelbagai latar belakang serta kepakaran di mana PRU14 merupakan detik penting bagi pengundi muda yang dianggarkan 60 peratus di bawah umur 30 tahun menentukan hala tuju negara.
Katanya lagi, para pemimpin PKR juga harus mendekati golongan ini melalui isu yang dekat kepada pengundi muda melalui pelbagai pendekatan.
Kata beliau, usaha lebih kencang dan tersusun perlu dilakukan dalam mendepankan pemimpin muda dengan memberikan fungsi penting di dalam parti.
Tumpuan yang kedua, Saifuddin mencadangkan agar rundingan kerusi bagi setiap calon yang bertanding dalam PRU14 perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Mac 2015.
Jelas beliau, perkara ini membolehkan calon-calon yang bakal bertanding diberikan tauliah awal untuk membina nama baik di kalangan pengundi dan membina jentera pilihan raya serta mengelakkan kekecewaan saat akhir oleh calon.
Tegas Saifuddin, beliau akan terus bersuara di dalam parti untuk memastikan sistem pencalonan yang digunakan sekarang, diubah sepenuhnya.
"Rundingan kerusi dengan DAP dan PAS perlu dimulakan segera dan dimuktamadkan tahun ini. Ini memberikan ruang kepada PKR untuk memilih dan menyaring calon seawal Ogos 2014 dan mula diberikan tauliah untuk berkhidmat di kerusi masing-masing,"
Sementara itu, mengulas tentang tumpuan ketiga, Saifuddin berkata Pakatan Rakyat (PR) perlu berdepan dengan isu perkauman yang dikatakan dimainkan untuk menakutkan pengundi Melayu.
"Serangan ini perlu dijawab dengan tersusun. Ia perlu dijawab oleh pimpinan Melayu dari PKR dan rakan dari PAS dan DAP yang berdaya intelek tinggi dan berkeyakinan untuk menunjukkan bahawa Melayu yang adil akan menjadi yakin dan tidak takut untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain," katanya.
Katanya PKR sendiri juga perlu mengukuhkan kempen secara dakwah mempertahankan kedudukan Islam tanpa menjejaskan orang bukan Islam mengamalkan ajaran mereka di negara ini.
Tambah Saifuddin jika ketiga-tiga perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan baik, peluang memenangi PRU14 amat cerah.
Pada Isnin lepas, kempen menjelang pemilihan PKR telah menyaksikan tiga calon mereka iaitu Saifuddin Nasution, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar bergabung bagi membentuk sebuah pasukan bagi merebut jawatan yang dipertandingkan.
Menurut Saifuddin, kempen yang bertemakan 'Masa Depan Bersama' adalah satu iltizam serta hasrat untuk mengundang pengembelengan kekuatan dan potensi luar dan dalam parti.