ARTIKEL SEBELUM

6/04/14

PAS, Umno sama-sama ‘biol’kata Ibrahim Ali

 
 Datuk Ibrahim Ali mengatakan pertelagahan Umno dan PAS menyebabkan masyarakat Melayu berpecah-belah sekaligus memberi peluang kepada pihak lain mengambil kesempatan terhadap kelemahan masyarakat majoriti di negara ini. – Gambar The Malaysian Insider.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menegaskan parti politik berteraskan Melayu di negara ini seperti PAS dan Umno mempunyai pemimpin yang "biol" kerana mereka sering bertelagah sehingga menyebabkan masyarakat pribumi dan Melayu menerima tempiasnya.

Pertelagahan kedua-dua parti itu menurut Ibrahim menyebabkan masyarakat Melayu berpecah-belah sekaligus memberi peluang kepada sesetengah pihak mengambil kesempatan terhadap kelemahan masyarakat majoriti di negara ini.

"Pemimpin kita banyak biol. Patut hantar ke Tanjung Rambutan. Apa benda yang bergaduh pun saya tidak faham. Kereta besar, rumah besar, hidup mewah, mahu apa lagi?

"Semua ada. Nak apa lagi? Yang kita tuntut sikit sahaja. Kesatuan ummah. Memupuk silatutrahim. Kalau ini kita tidak jaga, Melayu ini akan hancur," katanya di hadapan sekitar 200 ahli Perkasa di Puchong, malam tadi.

Ibrahim, 64, ketika perjumpaan bersama ahlinya di kawasan Parlimen Puchong dalam "Program Perkasa Ummah" bertajuk "Agama, Bangsa, dan Tanah Air" berkata, Perkasa ibarat "menyediakan payung sebelum hujan" ketika masyarakat Melayu sudah menolak Umno dan PAS.

"Mewakili Melayu dalam politik ini ada dua, PAS dan Umno. Pada saya dua-dua ini penting. Umno dengan sejarahnya yang kita tahu, parti yang memperjuangkan kemerdekaan hingga membawa kegemilangan Melayu. Parti yang bersumpah memelihara negara ini.

"Satu lagi parti yang memperjuangkan Islam. Kita pula kebetulan beragama Islam. Islam pula penting. Islam kuat, Melayu selamat.

"Tetapi Umno yang memperjuangkan Melayu kini hilang arah, hilang punca. PAS juga sama, hilang arah hilang punca," katanya, dan menambah, "esok kalau orang tolak Umno, benci dengan PAS, Perkasa ada."

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, sekiranya pemimpin kedua-dua parti sanggup bekerjasama, masyarakat Melayu sudah pasti akan menjadi sebuah kaum yang kuat dan disegani oleh kaum lain.

"Satu dalam kerajaan, satu lagi dalam pembangkang. Jika satu buat kerja dan satu yang meneliti kerja. Kalau tanpa kepentingan kuasa dan letakkan peranan masing-masing, saya percaya umat Melayu Islam di negara kita selamat.

"Politik kepartian hanyalah sementara ketika pilihan raya diadakan. Selepas itu masing-masing bertanggungjawab menjalankan tugas mereka," kata Ibrahim.

Ibrahim yang dikenali sebagai pemimpin yang lantang bersuara itu berkata, perjuangan Perkasa bukanlah berteraskan politik kepartian sebaliknya menegur kesilapan yang dilakukan pemimpin Melayu.

"Kita perjuangkan hak Melayu seperti dalam Perlembagaan. Sekarang ini, hak harta tanah mana Melayu punya. Rumah kalau ada pun macam reban ayam. Hak ekonomi, hak pendidikan macam mana?" katanya.

"Sebab itu kita tubuh Perkasa. Kita bukan tali barut Umno pun. Walaupun ada yang kata kita bagi sokongan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tak betul, kita tegur. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tak betul, kita tegur. PAS, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim silap, kita tegur. Tapi bila kita tegur, mereka kata Perkasa tali barut Umno," katanya diiringi dengan tepukan daripada hadirin.- TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud