ARTIKEL SEBELUM

21/04/14

MH370: Keluarga tak setuju keluar sijil kematian

ANIS NAZRI

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk mengumumkan status penumpang dan kru MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dalam tempoh terdekat.

Pengumuman tersebut akan dilakukan sejurus mendapat pengesahan daripada pakar berkaitan, kata Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang MH370, Datuk Hamzah Zainuddin, seperti yang dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Hamzah yang juga Timbalan Menteri Luar, pelbagai pendekatan diambil bagi memastikan kehidupan waris penumpang diteruskan walaupun sukar menerima kehilangan ahli keluarga mereka.

Beliau berkata kerajaan turut melantik Naib Presiden MCA, Datuk Paduka Chew Mei Fun sebagai wakil khas Malaysia untuk sebarang sesi perbincangan bersama kerajaan China.

Bagaimanapun, kebanyakan keluarga penumpang enggan menerima pengumuman tersebut selagi tiada sebarang bukti kukuh yang diperoleh tentang kehilangan ahli keluarga mereka.

Di Shah Alam, waris kepada salah seorang penumpang pesawat terbabit, Mohamad Nizam Mustafa, 42 berkata keluarganya tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan mengumumkan tiada penumpang yang terselamat.

Abang kepada Suhaili Mustafa itu berkata cadangan kerajaan itu tidak masuk akal apabila hendak mengeluarkan sijil kematian, sedangkan tiada sebarang bukti kukuh menunjukkan semua penumpang dan kru meninggal dunia.

"Sehingga kini, keluarga masih menaruh harapan tinggi untuk Suhaili pulang selamat, berikutan tiada bukti menyatakan mangsa ditemui mati.

"Kami masih keliru dengan status mangsa nahas MH370 dan tidak bersedia mengisytiharkan kematian Suhaili. Perkara ini tidak boleh dilakukan kerana pencarian pesawat masih belum berakhir," kata beliau seperti dilaporkan.

Malah, beliau dan keluarga dikatakan tidak akan menerima tawaran jawatankuasa terbabit bagi mengeluarkan sijil kematian Suhaili, selain tidak melakukan sebarang tuntutan berhubung tawaran lain yang diberikan kepada Suhaili.

Perkara sama turut dirasai seorang lagi waris penumpang MH370, Tan Tuan Lay, 53 yang merupakan ibu kepada Chew Kar Moi, 31 tahun.

Beliau tidak menerima sijil kematian anaknya kerana berpendapat segala-gaknya masih tidak pasti.

Selagi tiada bukti kukuh bahawa anaknya memang sudah tiada, tambah beliau hatinya tidak akan menerima sijil tersebut.

Malah, beliau beranggapan seolah-olah semua pihak sudah berputus asa untuk terus mencari pesawat berkenaan yang sudah hilang sejak 44 hari lalu.

"Bagaimana kami hendak terima, sedangkan pelbagai spekulasi timbul, seperti ia tidak terhempas sebaliknya berada di suatu lokasi lain," kata beliau seperti dipetik.

Hatinya turut berat untuk menerima 'kematian' tersebut sedangkan bangkai atau serpihan pesawat tersebut langsung tidak ditemui.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud