ARTIKEL SEBELUM

10/03/14

Wan Azizah teruskan agenda Anwar di Kajang

Pemilihan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang dilihat sebagai usaha meneruskan agenda politik suaminya yang
terhalang.

Pemilihan isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dibuat selepas Penasihat PKR itu yang sebelum ini dinamakan sebagai calon pembangkang pada PRK itu, dilaporkan tidak boleh bertanding bagi meneruskan apa yang dilihat sebagai usaha untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Jumaat lepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskannya daripada pertuduhan meliwat pembantu peribadinya, kira-kira enam tahun lepas.

Beberapa penganalisis politik berpandangan pemilihan isteri Anwar juga antara lain untuk meneruskan kesinambungan dinasti keluarga Ketua Pembangkang itu dalam PKR. Anak sulung pasangan itu, Nurul Izzah adalah Naib Presiden PKR dan anggota Parlimen Lembah Pantai.

Dekan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Tarmizi Talib melihat pemilihan Dr Wan Azizah sebagai strategi Anwar untuk meneruskan agendanya yang tersekat.

Perkara sama dilontarkan oleh penganalisis politik yang juga pensyarah di universiti itu, Dr Amini Amir Abdullah yang membayangkan kemungkinan Dr Wan Azizah hanyalah menjadi boneka kepada suaminya .

"Adakah Wan Azizah juga akan diangkat sebagai Menteri Besar Selangor kelak?," soalnya sambil menambah jika itu senarionya, Selangor mungkin hanya mempunyai boneka sebagai menteri besar.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed menggambarkan pemilihan Dr Wan Azizah itu sebagai lebih kepada urusan keluarga Anwar kerana isterinya dipilih walaupun ramai lagi calon lain yang boleh diketengahkan.

Ia juga dilihat sebagai usaha kesinambungan dinasti keluarga Anwar dalam parti itu.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Dr P. Sivamurugan berpendapat pemilihan Dr Wan Azizah itu mungkin strategi Anwar untuk raih undi simpati susulan keputusan mahkamah itu.

Pertembungan Dr Wan Azizah dan calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun menarik perhatian ramai memandangkan kira-kira 50 peratus daripada kira-kira 39,000 pengundi DUN Kajang adalah wanita.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata BN, pada dasarnya, tidak akan mengubah strategi pilihan raya mereka berikutan pemilihan Dr Wan Azizah sebagai calon.

"Sama ada Anwar atau Wan Azizah, strategi kita tidak berubah," katanya.

Chew pula mengulangi pendiriannya bersedia untuk menghadapi siapa jua di PRK Kajang dan akan terus berusaha agar BN boleh merampas semula kerusi itu daripada PKR.

Hari penamaan calon pada 11 Mac manakala pengundian 23 Mac. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud