ARTIKEL SEBELUM

20/03/14

Pencarian MH370 - FBI bantu siasat simulator juruterbang

Kapten Zaharie Ahmad Shah bersama simulator penerbangannya. Terkini masuk hari ke-13 misi mencari dan menyelamat pesawat MH370, FBI meningkatkan usaha menganalisis data daripada simulator penerbangan yang diambil daripada kediaman Kapten Zaharie. – Gambar diambil dari YouTube, 20 Mac, 2014. 

Dengan pencarian ke atas pesawat MH370 masuk hari ke 13 tanpa sebarang perkembangan penting, FBI meningkatkan usaha dengan menganalisis data daripada simulator penerbangan yang dirampas dari rumah juruterbang pesawat Kapten Zaharie Ahmad Shah minggu lalu.

Malaysia menyerahkan data elektronik yang diperolehi daripada cakera keras simulator Kapten Zaharie dan juga media elektronik yang digunakan oleh pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid, kata seorang penguatkuasa undang-undang Amerika.

Pegawai itu bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sebahagian data dipadamkan daripada simulator dan menegaskan tidak ada jaminan analisa FBI boleh menghasilkan maklumat baru untuk pencarian itu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata dalam sidang media hariannya semalam, pakar tempatan dan antarabangsa diminta membantu menyiasat simulator penerbangan itu.

"Sebahagian data dipadamkan daripada simulator itu, namun kerja forensik sedang dijalankan untuk cuba mendapatkannya kembali," kata Hishamuddin.

Katanya, siasatan ke atas simulator itu adalah sebahagian daripada siasatan menyeluruh yang dibuat ke atas semua penumpang dan anak kapal dalam pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu itu.

"Kami berkongsi semua maklumat berkaitan dengan semua agensi perisikan antarabangsa," kata menteri itu.

Penyiasat Amerika melahirkan rasa kecewa sejak beberapa hari lepas kerana pihak berkuasa Malaysia tidak meminta bantuan mereka.

FBI mempunyai pengalaman luas dalam penyiasatan tentang kapal terbang yang terhempas, termasuk TWA 800 dan EgyptAir 990 daripada pantai timur Amerika pada tahun 1990an dan Pan Am Pesawat 103 di Lockerbie, Scotland.

Dalam kes EgyptAir 990, FBI yang membantu penyiasat keselamatan udara mengesahkan bahawa puncanya adalah tindakan bunuh diri pembantu juruterbang, manakala dengan kes Pan Am 103, agensi itu bekerja dengan British dan penyiasat Amerika terhadap kerja yang melibatkan kerajaan Libya.- TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud