ARTIKEL SEBELUM

18/02/14

Tiada surat peletakan jawatan - MB Selangor:

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan laporan berita bahawa beliau enggan menandatangani surat peletakan jawatan bertarikh tunda sebagai Menteri Besar Selangor untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan itu.

Abdul Khalid berkata tidak ada surat seperti itu dan laporan itu tidak berasas.

"Saya tidak mahu komen isu-isu bersifat spekulasi kerana saya kini memberi tumpuan semata-mata pada pilihan raya kecil Dun Kajang," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan di bawah pentadbiran PBT.

Abdul Khalid diminta mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris Sabtu lepas bahawa beliau menghalang usaha itu apabila enggan menandatangani surat peletakan jawatan.

Beliau dilaporkan diminta menandatangani surat peletakan jawatan yang disediakan kepimpinan PKR tetapi beliau enggan berbuat demikian.

Surat itu dilaporkan bertarikh 23 Mac iaitu tarikh hari mengundi bagi pilihan raya kecil Dun Kajang.

Sementara itu, Abdul Khalid berpendapat keputusan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dun Kajang sebagai calon bebas tidak akan mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata lebih 400 CCTV telah dipasang di 11 kawasan PBT di Selangor dan kerajaan negeri membelanjakan hampir RM500,000 sebulan bagi kos menyewa dan menyelenggaranya.

Beliau juga berkata kerajaan Selangor sedang mengkaji kemungkinan untuk menjalankan pembenihan awan minggu ini bagi mengatasi masalah penurunan paras air di beberapa empangan di negeri itu.

Menurut beliau, sekitar RM300,000 hingga RM500,000 diperlukan untuk tujuan itu. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud