ARTIKEL SEBELUM

14/02/14

‘SPR buatlah kerja kamu, jangan campuri urusan politik’

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr. Mohd Hatta Ramli meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya lebih menumpukan kepada tanggungjawab sebagai pengendali pilihanraya dan tidak mencampuri urusan politik.

Beliau mengulas berkenaan cadangan SPR yang akan mengkaji undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab munasabah.

 

Katanya, urusan peletakan jawatan seseorang wakil rakyat itu merupakan satu strategi politik dalam menentukan kekuatan sesebuah pasti dan SPR tidak perlu menggangap sebagai satu masalah kerana ia tidak melanggari proses demokrasi negara ini.

"Saya harap SPR lebih faham apa tanggungjawab mereka yang sebenarnya, tidak perlu mencampuri urusan politik dalam sesebuah parti politik.

"Tugas mereka adalah laksanakan pilihan raya yang lebih teratur dan telus, sebaliknya sebuah parti politik itu mempunyai strategi mereka dan jika ada peletakan jawatan wakil rakyat ia merupakan satu usaha untuk memperkuatkan parti.

"Lagipun proses ini tidak bertentangan dengan amalan demokrasi negara ini, parti mempunyai hak dan selagi ia tidak bertentangan dengan sistem perundangan serta perlembagaan," kata beliau.

Tambah beliau, isu peletakan jawatan ini telah lama berlaku seperti mana peletakan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ali di Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tujuan memperkuatkan lagi Pakatan Rakyat di Parlimen.

Jelasnya lagi, segala perancangan ini merupakan satu proses yang bijak dalam memastikan kekuatan Pakatan Rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

"Isu ini timbul bila membabitkan Anwar dan jika isu pengunduran Ketua Menteri Sarawak itu lebih awal, maka perkara ini tidak menjadi isu utama sehingga cadangan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat.

"Denda yang ada sekarang sudah memadai untuk dilaksanakan, untuk cadangan baru adalah tidak munasabah," sambung beliau.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu kenyataan mencadangkan hukuman lebih berat itu adalah bagi mengelakkan 'penyakit' meletak jawatan tanpa sebab 'merebak' kepada wakil rakyat lain, selain dilihat tidak bermoral.

Menurut undang-undang sedia ada, baik Perlembagaan Persekutuan mahupun perlembagaan negeri, seseorang wakil rakyat iaitu anggota Dewan Rakyat (persekutuan) dan anggota Dewan Undangan Negeri (perlembagaan negeri), akan hilang kelayakan menjadi anggota dewan yang berkenaan selama lima tahun, bermula tarikh peletakan jawatannya. - HD

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud