Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata beliau sebenarnya lebih layak untuk menjadi perdana menteri berbanding dengan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ibrahim menyifatkan beliau 1,000 kali lebih bagus daripada ketua umum PKR itu dari segi moral dan perangai serta boleh menjalankan tugas lebih baik daripada Anwar sebagai perdana menteri Malaysia.
“Sekiranya anda mahukan perdana menteri dan tidak suka dengan calon sedia ada, Ibrahim Ali juga boleh jadi perdana menteri,” katanya dalam program penyerahan pelantikan baru jawatankuasa kepimpinan Perkasa negeri di Seamo-Rescam, di Pulau Pinang hari ini.
Ucapan presiden Perkasa itu ia disambut oleh gelak ketawa kira-kira 100 ahli Perkasa yang hadir dalam program tersebut.
Katanya lagi, antara beliau dan Anwar masing-masing mempunyai kelayakan sama rata dari segi pendidikan dan juga pengalaman berucap dalam pelbagai pentas tempatan dan antarabangsa.
“Jadi bermula esok, saya adalah bakal perdana menteri bukan Anwar. Saya hanya mahu berlawan dengan Anwar, yang lain saya tidak tidak kisah.
“Saya tahu saya lebih baik daripada beliau. Anwar menjadi popular ketika zaman mudanya kerana saya yang banyak menguruskan dan memberi publisiti kepadanya daripada belakang tabir pada tahun 1970an apabila ketika itu kami menjadi pemimpin pelajar,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga turut menyelar Anwar sambil menggelar pemimpin Pakatan Rakyat (PR) itu sebagai “berdarah munafik kelas pertama”.
“Saya perlu berkata demikian demi kepentingan negara. Anwar merasakan dirinya seperti manusia luar biasa seolah-olah tiada siapa lagi yang boleh mencabarnya.
“Dari zaman belajar lagi sehingga sekarang beliau cuba mencari masalah dengan orang lain. Dia (Anwar) sudah mendapat semuanya namun masih tidak berpuas hati,” katanya.
Selain itu, Ibrahim turut mendakwa beliau mengenali Anwar dari dalam dan luar namun pemimpin itu tidak berani mencari pasal dengannya kerana presiden Perkasa itu menyifatkan dirinya adalah seorang yang garang.
Kenyataan Ibrahim itu turut mengundang gelak tawa kepada hadirin dan beliau juga menambah Anwar lebih suka kepada mereka yang berdahi licin.
Beliau berkata, Perkasa sebagai pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) juga tidak kurang hebatnya kerana badan itu juga terkenal dan ramai yang ingin menjadi ahli.
Beliau berkata segala tuduhan dan “label” yang dilemparkan membantu menjadikan Perkasa sangat terkenal dan menggerunkan sejak ia ditubuhkan lima tahun lalu.
“Apabila kita mengkritik PR mereka menuduh kita alat Umno namun bila kita mengkritik BN, PR tak kata apa-apa.
“Pendirian kita tetap. Kita puji apa yang bagus dan menentang sekiranya tidak. Itulah tugas NGO. Jadi apa masalah sekiranya kami mempunyai hubungan baik dengan Umno.
“Sekiranya Perkasa Pulau Pinang ingin berkawan dengan PAS dan parti DAP, ia juga tidak mengapa,” katanya.
Tambahnya lagi, agenda Perkasa hanya tertumpu kepada isu negara seperti mengekalkan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada pembangunan dan keharmonian negara yang dinikmati oleh pelbagai kaum dan agama.
Beliau berkata, Perkasa tidak mempunyai persengketaan dengan sesiapa namun sekiranya ia berkaitan dengan Perlembagaan, pertubuhan itu sama sekali enggan bertoleransi.
“Kami tidak takut atau perlu meminta maaf kerana itu Perkasa adalah sebuah pertubuhan yang memainkan peranan penting terutamanya menyentuh mengenai ketegangan kaum dan agama yang dipolitikkan,” katanya. – 16 Februari, 2014. TMI