ARTIKEL SEBELUM

8/02/14

Mahkamah tolak saman PR terhadap SPR

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman tiga parti pembangkang dan lima individu bagi memecat tujuh anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim Datuk Rosnaini Saub membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan SPR bagi membatalkan saman sivil berkenaan serta memerintahkan Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Dzulkefly Ahmad, Saifuddin Nasution Ismail, M.Manogaran, Arifin Abd Rahman dan R.Abbo membayar kos sebanyak RM10,000.

Dzulkefly, Manogaran dan Saifuddin Nasution merupakan calon dalam PRU13 manakala Arifin Abbo adalah pengundi.

Mereka menamakan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Datuk Mohamad Ramji Ali, Datuk Dr P. Manogran, Datuk Christopher Wan Soo Kee, Datuk Md Yusop Mansor dan Abdul Aziz Khalidin sebagai defendan.

Dalam penghakiman bertulis, Rosnaini berkata anggota SPR memiliki keistimewaan sama seperti seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

"Ini bermakna mereka hanya boleh dipecat daripada jawatan oleh tribunal yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Tindakan memfailkan saman dan memohon satu perintah untuk memecat defendan sebagai anggota SPR boleh dianggap sebagai satu percubaan bagi melangkau atau memintas peruntukan Perkara 114(3) Perlembagaan Persekutuan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah," katanya.

Rosnaini berkata berdasarkan Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, satu-satunya kaedah untuk mencabar keputusan pilihan raya ialah dengan memfailkan petisyen pilihan raya.

"Hanya hakim mahkamah pilihan raya yang boleh mengisytiharkan mana-mana pilihan raya sebagai batal dan tidak sah. Mahkamah ini bukan mahkamah pilihan raya, oleh itu, saya tidak boleh memberikan relif yang dipohon plaintif," katanya.

Plaintif mendakwa anggota SPR terbabit gagal melaksanakan tanggungjawab dalam mengendali pilihan raya umum ke-13 dan sehubungan itu, mereka meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan pilihan raya lepas bagi kesemua 222 kerusi Parlimen adalah batal dan tidak sah.

Defendan memfailkan permohonan bagi membatalkan saman itu pada Ogos lepas. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud