ARTIKEL SEBELUM

8/02/14

Insurans kenderaan: Jaga hak rakyat, bukan utama kroni

 

Kenaikan tarif insurans kenderaan terus membebani rakyat apabila Bank Negara Malaysia (BNM) telah meluluskan pelarasan kadar baharu dengan anggaran peningkatan sekitar RM2 hingga RM23.

Namum perkara tersebut terus menjadi persoalan apabila sebelum kelulusan kadar kenaikan tersebut ia langsung tidak dimaklumkan kepada rakyat serta pengguna kenderaan.

Dr Rosli Yaakop menjelaskan walaupun rakyat hanya membayar insurans kenderaan pada setiap tahun tetapi sebagai pengguna tindakan tidak memaklumkan kepada mereka berhubung cadangan kenaikan tarif adalah suatu yang tidak wajar.

Jelasnya, kerajaan mahupun BNM perlu mendapat maklum balas dari rakyat terlebih dahulu mengenai cadangan kenaikan tarif dan ia perlu diputuskan berdasarkan pandangan rakyat sebelum keputusan kelulusan itu diperolehi.

"Perkara ini telah lama berlaku, apabila berlakunya kenaikan tarif insurans kenderaan ia hanya dilaporakn dalam akhbar dan itu pun setelah mendapat kelulusan.

"Bagi saya kerajaan dan BNM perlu mencari mekanisma di mana sebelum cadangan kenaikan tarif dilakukan, rakyat perlu dimaklumkan agar mendapat maklum balas daripada mereka.

"Pandangan rakyat perlu diambil kira, dan mereka tidak perlu dibebankan demi kepentingan syarikat insurans dalam negara ini," jelas beliau yang merupakan pakar ekonomi.

Beliau turut berharap agar satu konsultan pengguna berkenaan isu ini diwujudkan bagi memberi penerangan mengenai sebarang cadangan kenaikan kadar.

BNM melalui satu laporan mengatakan kadar tarif baharu itu akan berkuatkuasa pada 15 Februari ini ke atas setiap kenderaan baharu yang dibeli atau insurans yang diperbaharui semula.

Pelarasan itu merupakan kali ketiga sejak 2012, selepas BNM membenarkan peningkatan premium setiap tahun antara 2012 hingga 2015.

Jelas Dr Rosli lagi, situasi sekarang pihak BNM hanya menghantar notis pelarasan itu kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) sahaja sedangkan rakya tidak mendapat apa-apa notis makluman.

"Setiap tahun tidak ada pengurangan apabila rakyat memperbaharui insurans kenderaan mereka, walaupun hanya tempoh setahun sekali tetapi ia turut membebani rakyat.

"Kita tahu pemilik kenderaan sentiasa mengharapkan kadar bayaran insurans mereka berkurangan setiap tahun tetapi itu tidak pernah berlaku sebaliknya mereka tetap membayar pada kadar yang sama," sambung beliau.

Katanya, pelarasan tarif ini dilakukan adalah disebabkan wujud penipuan dalam tuntutan kemalangan sehinggakan syarikat menggesa kenaikan tarif tersebut.

"Kenaikan ini tidak lain adalah wujud penipuan dalam tuntutan insurans kemalangan dari pihak tidak bertanggungjawab maka pihak insurans menggesa kerajaaan melaksanakannya bagi menampung kerugian.

"Dalam hal ini kerajaan perlu membuat pemantuan yang lebih tegas agar penipuan yang ada ini dapat dibendung dan secara tidak langsung rakyat menikmati kadar yang lebih rendah pada setiap tahun," katanya lagi.

Dr Rosli yang menggesa sebarang keputusan kenaikan tarif kadar harga, kerajaan perlu mengambil kira hak rakyat terlebih dahulu dan bukannya menjaga kepentingan kroni sahaja.- Harakahdaily

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud