ARTIKEL SEBELUM

18/02/14

Dr M: Tentu saya takut Anwar jadi MB

 

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, beliau memang “takut” sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi menteri besar Selangor.

Menurut beliau, orang ramai tidak akan berasa selamat sekiranya Anwar menjadi pemimpin berikutan perlakuan beliau yang didakwa “tidak bermoral”.

"Tentulah saya takut (Anwar jadi MB) kerana orang akan rasa tak selamat bila dia ada di sekitar.

"Tengok apa jadi kepada kakitangan beliau," kata Mahathir.

Beliau juga berkata, Anwar tidak layak menjadi menteri besar atau perdana menteri dan hanya menubuhkan parti sema-mata untuk jawatan itu.

“Bukan untuk perjuangkan bangsa, agama atau apa-apa. Beliau masuk Umno dulu pun hanya untuk jadi PM," kata beliau dalam sidang media di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari ini.

Zaid, Herman Tino mungkin hilang deposit

Mahathir, perdana menteri 22 tahun itu, merujuk kepada kes membabitkan Anwar dan beberapa pembantunya termasuk Saiful Bukharin Azlan yang mendakwa diliwat pada 2008.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil Kajang, Mahathir berkata, BN perlu menghantar calon menentang Anwar.

"BN patut bertanding. Sama ada Umno, MCA, MIC, atau Gerakan, wakil BN mesti bertanding," tegas beliau.

Beliau turut mengalu-alukan calon bebas seperti bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim dan penyanyi dangdut Herman Tino “layak” bertanding atas semangat demokrasi.

"Bekas menteri dan orang seperti Herman Tino semua layak bertanding kalau ikut sistem kita. Mereka mungkin hilang deposit tapi tak apalah," kata beliau.

'Ops Lalang, saya pikul tanggungjawab'

Sementara itu Mahathir turut mengaku bertanggungjawab terhadap Operasi Lalang 26 tahun lalu.

Beliau bagaimanapun menerangkan beliau berada di luar negara ketika itu.

"Jika saya buat salah, saya buat salah. Saya dah tua, jadi senang terlupa.

"Keputusan itu walaupun dibuat orang lain, tetap daripada kabinet. Saya pikul tanggungjawabnya. Kami buat apa yang perlu untuk memastikan keamanan dan kestabilan di negara ini," kata beliau. - mk

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud