ARTIKEL SEBELUM

11/02/14

Anwar tidak langgar mana-mana undang-undang pilihan raya, kata SPR


OLEH AMIN ISKANDAR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengatakan calon PKR bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) tidak melanggar mana-mana undang-undang pilihan raya seperti didakwa sesetengah pihak berhubung isu berkempen awal kerana ketua pembangkang itu secara teknikalnya masih belum sah sebagai calon.

Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, sebelum hari penamaan calon, badan penggendali pilihan raya itu tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang berkempen sebelum tarikh ditetapkan karana tiada undang-undang yang memberikan kuasa kepada mereka berbuat demikian.

"Sebelum penamaan calon, SPR tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan kepada Anwar," kata Abdul Aziz "Sekarang kuasa terletak kepada pihak polis untuk mengambil tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.

Menurut Abdul Aziz, calon bagi PRK Kajang hanya dapat diketahui selepas Pegawai Pengurus, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman mengumumkan nama calon semasa hari penamaan calon pada 11 Mac akan datang.

"Itu pun kalau ada pertandingan. Kalau tak ada orang hantar borang penamaan calon? Macam mana?" soal Abdul Aziz.

Hari ini Majlis Peguam menggesa SPR mengambil tindakan terhadap parti yang memulakan kempen sebelum hari penamaan calon bagi PRK DUN Kajang.

Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong, berkata SPR harus menguatkuasa undang-undang, tidak kira sama ada terhadap Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR).

"Saya ucapkan terima kasih kepada Majlis Peguam kerana memberikan respon. Ini positif. Tapi mungkin mereka tidak faham.

"SPR hanya boleh menasihatkan sahaja kepada semua pihak agar tidak berkempen. Sebelum penamaan calon, kuasa di tangan polis," katanya.

Berita Harian melaporkan polis memulakan siasatan terhadap Anwar kerana gagal memberikan notis 10 hari sebelum berkempen awal di Kajang.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pihaknya tidak menerima sebarang notis daripada Anwar berhubung kempen beliau di Kajang seperti yang dikehendaki mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, tindakan Anwar boleh disiasat mengikut akta tersebut kerana kempen rasmi PRK hanya boleh dilakukan selepas tarikh penamaan calon pada 11 Mac.

Semantara Anwar menafikan langkah beliau melanggar undang-undang pilihan raya dan bertegas BN sudah melancarkan kempen agresif terhadap beliau melalui media kawalan mereka seperti TV3 dan Utusan Malaysia.

Minggu lalu, SPR menetapkan tarikh 23 Mac untuk PRK Kajang dan 11 Mac untuk hari penamaan calon.

PRK tersebut diadakan berikutan peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Adun Kajang, pada 27 Januari.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud