Aktivis mahasiswa, Mohamed Bukhairy Mohamed Sufian yang merupakan pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hadir ke balai polis Dang Wangi petang semalam untuk memberi keterangan berkaitan himpunan TURUN pada malam ambang tahun baru yang lalu.
Menurut Bukhairy, beliau memberi keterangan selama kira-kira satu jam setengah bermula 3 petang selepas menerima notis untuk berbuat demikian
di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah pada hari Rabu, 8 Januari 2013.
Menurutnya, hanya beliau yang memberi keterangan walaupun sebelum ini polis berkata akan memanggil empat individu yang dipercayai menganjurkan
himpunan itu. (link: www.malaysiakini.com/news/251358)
Menurutnya, polis memaklumkan yang aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) iaitu Badrul Hisham Shaharin dan Eddy Noor Reduan, serta setiausaha
media SMM, Edikoup Lakip adalah tiga lagi yang dipanggil namun sehingga semalam, mereka memaklumkan tidak menerima sebarang notis.
Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan polis yang mereka akan membawa kes itu ke mahkamah apabila siasatan berkenaan himpunan itu lengkap.
Tegas Bukhairy, himpunan memprotes harga barang pada malam itu tidak dianjurkan SMM dan ia bukan sama sekali himpunan untuk menggulingkan kerajaan.
"Himpunan itu tiada penganjur. Kalau mereka mahu dakwa (saya), ia bukan satu hujah yang kuat.
"Himpunan itu juga bukan satu himpunan untuk menggulingkan kerajaan," katanya yang merupakan mahasiswa Universiti Malaya. -Mkini