SHAH ALAM - Muzakarah Ulama hari ini telah memutuskan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) adalah haram sekaligus kerajaan perlu menolak tuntutan NGO tersebut.
Mengikut resolusi yang diputuskan oleh muzakarah ulama anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), perbincangan yang dilakukan mengikut perspektif syarak itu mendapati tuntutan Comanga adalah bertentangan dengan hukum syarak..
Menurut keputusan resolusi itu lagi, menyedari kuasa pelaksanaan terletak pada pihak yang berautoriti, maka muzakarah mencadangkan agar resolusi ini dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, dan pihak yang berkuasa.
"Berdasarkan kepada keputusan di atas, Muzakarah mendesak kerajaan untuk tidak hanya mengharamkan Comango, bahkan menolak segala tuntutan-tuntutan Comango, atau tuntutan mana-mana kumpulan, di atas apa nama sekali pun, yang bertentangan dengan hukum syarak.
"Setelah perbincangan, Muzakarah bersetuju bahawa tuntutan-tuntutan asasi Comango adalah bertentangan dengan syarak dalam masa yang sama bertentangan dengan undang-undang yang sah dan bertentangan dengan norma-norma antarabangsa," kata keputusan resolusi itu.
Muzakarah Tuntutan Comango Mengikut Perspektif Syarak itu telah disertai 22 peserta yang terdiri golongan cerdik pandai agama termasuk Pengerusi Ulama Isma, Prof Madya Dr Aznan Hasan, Mufti Negeri Terengganu, Dr Zulkifly Muda, dan Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz.
Dalam pada itu, resolusi muzakarah ulama juga menyatakan penyokong dan pendokong tuntutan Comango adalah haram dari sudut syariah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, muzakarah itu juga menegaskan umat Islam perlu menyedari tuntutan oleh NGO tersebut mampu merosakkan akidah dan menjatuhkan cara hidup Islam keseluruhannya.
"Kepada umat Islam dan parti politik hendak mengenepikan segala perbezaan pendirian dan pandangan politik demi mempertahankan kepentingan kesucian Islam," jelas resolusi itu lagi.