ARTIKEL SEBELUM

16/01/14

Pengguguran Azmin kekal buat masa ini

Penamatan jawatan Azmin Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kekal buat masa ini sementara mempertimbangkan syor Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kenyataan Anwar sebagai penasihat ekonomi negeri yang mengesyorkan Azmin (bawah) dilantik semula ke syarikat kerajaan Selangor itu.

“Sebelum keputusan muktamad dibuat oleh exco, kedudukan ahli lembaga pengarah PKNS berkenaan (Azmin) kekal seperti yang diarahkan oleh pengurus besar PKNS untuk mengelakkan sebarang komplikasi perundangan,” katanya.

Anwar, dalam sidang media yang turut dihadiri Azmin hari ini mengesyorkan supaya timbalan presiden PKR itu dilantik semula, antaranya ekoran keseluruhan proses pemecatan yang menurutnya cacat.

Menteri besar dan PKNS semalam masing-masing menuding jari berhubung penamatan tugas Azmin.

Dalam kenyataan hari ini, Khalid berkata, beliau dan exco merasakan perlu mempertimbangkan permintaan Anwar sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

Beliau juga menjelaskan, mereka mempunyai tanggungjawab memperbetulkan sebarang kecacatan atau kesilapan yang berkaitan dengan perkara itu.

Sementara itu, menteri besar juga berkata, pengurus besar dan setiausaha syarikat PKNS akan dipanggil menerangkan mengapa keadaan sedemikian berlaku hingga “melarat menjadi konflik”.

Kemelut berterusan itu dilihat bakal menyemarakkan lagi kehangatan melibatkan dua tokoh penting pembangkang – Khalid dan Azmin – itu menjelang kongres pemilihan PKR tidak berapa lama lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud