KUALA LUMPUR - Pemudo Umno tidak boleh mempertahan tindakan seorang ahlinya menumbuk Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan baru-baru ini, kata Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata apa jua sebab atau tekanan yang dihadapi anggota berkenaan iaitu Penolong Setiausaha Pemuda Umno Hulu Selangor, Muhammad Rizuan Suhaimi, tindakan agresif seperti itu tidak boleh diambil terhadap Kamalanathan atau sesiapa sahaja.
"Dia ada berjumpa dengan saya dan menjelaskan faktor-faktor berlakunya insiden itu. Saya terima penjelasan itu namun apapun sebabnya, kita tidak boleh bertindak secara fizikal," katanya kepada pemberita selepas meninjau harga di Pasar Borong Kuala Lumpur.
Khairy berkata surat tunjuk sebab yang diminta Pengurusan Umno ialah bagi membolehkan Muhammad Rizuan menyatakan versi beliau berhubung insiden itu dan menyerahkan kepada proses disiplin parti untuk meneliti kes berkenaan.
Pada 12 Januari lepas, Kamalanathan ditumbuk seorang lelaki di pejabat wakil rakyat itu selepas satu program di kawasan Hulu Selangor. - Bernama