ARTIKEL SEBELUM

8/11/13

Wang dan hadiah gagal menangkan BN - Dr Mahathir

 

KUALA LUMPUR: Pemberian wang dan hadiah tidak akan memberi kemenangan kepada BN seperti dibuktikan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Sungai Limau dan pilihan raya umum (PRU) lalu, ujar mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).

Menulis di laman blognya, Che Det, Dr Mahathir menegur kaedah kempen BN yang banyak menggunakan wang dan hadiah.

"Kempen sekarang ini berbeza dari dahulu. Banyak wang diguna. Diadakan karnival di mana ada acara hiburan, jamuan dan hadiah percuma seperti T-shirt BN, PAS yang belum memerintah terpaksa jual T-shirt. Apabila jadi Kerajaan T- shirt tentu percuma.

"Ada jabatan kerajaan yang mengadakan pameran untuk mempromosi Kementerian Pertanian saya fikir. Mereka yang datang melihat pameran diberi sepuluh ekor anak ayam, dedak dan beras. Makanan disediakan untuk pelawat.

"Saya tak tahu samada pameran ini adalah sebahagian dari kempen BN. Jika ia (ya), amat jelas pelawat tidak terpengaruh dengan hadiah anak ayam. Sebenarnya pengundi tidak mengundi mengikut hadiah – samada berbentuk duit atau anak ayam," tulis Dr Mahathir.

Menurut beliau, pemberian wang dan hadiah tidak akan memberi kemenangan kepada mana-mana calon malah wang yang diberi adalah pembaziran, sama ada wang milik kerajaan atau bukan kerajaan.

Dr Mahathir menambah, sokongan kepada parti politik diasaskan kepada perjuangannya dan tingkah laku pemimpin dan calon.

"Kalau datang dengan Mercedes atau motorsikal 1000 c.c., saguhati dan apa juga yang diberi tidak akan menawan hati. Ada pengundi yang tidak arif yang berkata ini rasuah. Ini sangkaan buruk mereka. Tetapi sangkaan ini walaupun mungkin bukan rasuah mungkin mempengaruhi tindakan mereka," ujarnya.

Dr Mahathir juga mendapati keadaan di Sungai Limau sudah berubah berbanding ketika beliau menjadi wakil rakyat apabila banyak rumah batu berbumbung genting dibina penduduk.

"Nampak sejak saya jadi wakil rakyat dahulu keadaan banyak berubah. Ramai dari orang kampung yang sudah berjaya dan ada duit, walaupun tidak kaya," tulis beliau.

Bagaimanapun beliau mengakui masih ramai penduduk yang miskin dan amat miskin.

"Kalau mereka diberi peluang dan bantuan mungkin mereka akan berhijrah... Inilah politik semasa. Duit lebih banyak tetapi pengaruh masih belum cukup," ujarnya.

Harakahdaily

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud