Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengkritik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apabila mendakwa Menteri Besar Selangor itu lambat melaksanakan arahan yang diberikan.
Ketua Umum PKR itu berkata, Abdul Khalid seorang pendengar yang baik tetapi tidak mengamalkan apa yang disarankannya.
"Dia adalah seorang sahabat yang paling setia mendengar berbanding pemimpin PKR yang lain. Tan Sri Khalid seorang yang paling patuh mendengar cuma paling lambat laksanakannya kadang-kadang."Saya tegur seorang pemimpin dengan perkara yang baik.
Saya tegur supaya dia dapat baiki skru longgar sebelum ini," katanya dalam ucapan penutup Kongres Nasional Khas PKR 2013 di Shah Alam hari ini.
Semasa kongres itu, semua perwakilan sebulat suara bersetuju dengan pindaan baru perlembagaan parti yang akan dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada minggu hadapan.
Meskipun sindiran itu ditujukan secara terus kepada Abdul Khalid yang duduk berhampiran dengan Anwar, ahli parlimen Permatang Pauh itu tetap memuji pentadbirannya di Selangor yang dilihat dapat mengurangkan pembaziran berbanding kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelumnya.
Anwar berkata rekod pentadbiran Abdul Khalid lebih baik berbanding menteri besar di negeri lain dan menteri besar sebelumnya di Selangor.
“Bila kita tegur, kita lupa bahawa di bawah pemerintahan Selangor dari segi kepimpinan, kewangan, agihan dan pembaziran jauh lebih terkawal yang bukan sedikit. Saudara boleh teliti akaun pengurusan ekonomi zaman Umno-BN dan zaman Pakatan Rakyat, perbezaannya terlalu jauh.
“Saya yakin dia tak curi wang, tak ambil balak, tak ambil tanah dan tak khianati amanah. Itu paling besar,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh perwakilan yang hadir. TMI