Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan bahawa pilihan raya kecil bagi DUN Sungai Limau, Kedah akan diadakan pada 4 November.
Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 23 Oktober - yang memberi peluang kepada calon untuk berkempen selama 12 hari termasuk pada hari penamaan.
Abdul Aziz mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media hari ini.
Katanya, SPR membuat pertimbangan agar pilihan raya itu diadakan sebelum peperiksaan SPM, pada 6 November, kerana banyak pusat pengundian dan dewan dimiliki sekolah.
"Kita tidak mahu ganggu susunan meja sekolah," katanya lagi yang menambah, anggota Umno memerlukan masa selepas mengadakan pemilihan parti pada 17 Oktober.
SPR juga mempertimbangkan keperluan penganut agama yang menyambut Deepavali pada 2 November dan Awal Muharram pada 5 November.
Keperluan PAS untuk mengadakan muktamar pada 17 November juga diambil kira, katanya lagi.Pilihan raya kecil kali ini tidak melibatkan pemilihan awal kerana tiada pengundi polis atau tentera didaftarkan di situ.
Pengundi pos bagi petugas media dan warga Malaysia di luar negara untuk kawasan tersebut boleh mula mendaftar hari ini.
Pegawai daerah Abdul Rashid Othman dilantik sebagai pegawai pengurus pilihan raya, dan borang pencalonan akan mula dijual pada 10 Oktober.
Penyandang kerusi tersebut, bekas menteri besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lalu akibat masalah kesihatan.
Menurut Abdul Aziz, seramai 27,222 individu layak mengundi dalam pilihan ray akecil tersebut, yang terdiri dari 93 peratus Melayu, tujuh peratus Cina dan hanya 57 orang pengundi dari kaum minoriti lain.
SPR akan menggembleng kekuatan seramai 492 orang untuk mengadakan pilihan raya tersebut, yang dijangka melibatkan kos lebih RM1.3 juta.