ARTIKEL SEBELUM

3/10/13

Harga ais kiub naik 50 sen

Harga ais kiub naik 50 sen 

Sebanyak 16 kilang memproses ais kiub, termasuk satu di Besut bersetuju menaikkan harga ais kiub dari RM2.50 kepada RM3 satu beg berkuat kuasa 5 Oktober nanti.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Persatuan Pengilang Ais Kiub Kelantan (PPAKK) di sebuah hotel, Kota Bharu, kelmarin, selepas mengambil kira beberapa faktor.

Ahli Jawatankuasa Pemantau Harga PPAKK, Masuki @ Mohd Nazri Baniyamin, 45, berkata, pihaknya menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyemak semula tarif elektrik di kilang mereka berikutan peningkatan mendadak jumlah bil bulanan sebaik meter dinaik taraf sejak awal tahun ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pengilang menanggung kos tinggi, selain berdepan kenaikan harga bahan api, perlaksanaan gaji minima dan kenaikan barangan keperluan kilang.

“Melalui mesyuarat sama lima tahun lalu, PPAKK sebenarnya sudah menetapkan RM3 satu beg tetapi terpaksa diturunkan kepada RM2.50 apabila ramai tidak berpuas hati dengan kadar itu.

“Namun, disebabkan ramai pengilang perlu menanggung kos terlalu tinggi sejak kebelakangan ini, terutama dari segi peningkatan tarif elektrik di luar dugaan itu, pihaknya terpaksa menaikkan semula harga ais kiub bagi menampung kos pengeluaran," katanya ketika ditemui di kilangnya di Padang Pak Amat, dekat sini, semalam.

Mohd Nazri berkata, dua kilang di negeri ini terpaksa ‘gulung tikar’ dan ada pengusaha menjual premis perniagaan mereka kerana tidak mampu menampung kos tinggi.

Menurutnya, sebelum ini, kilangnya hanya menanggung kos elektrik sekitar RM40,000 sebulan tetapi, terpaksa membayar sehingga RM60,000 sebulan sebaik sahaja meter baru ditukar pihak TNB kira-kira lapan bulan lalu.

“Saya dan pengilang lain menghasilkan pengeluaran ais kiub dalam kuantiti sama dan statik setiap bulan dan tidak wajar sama sekali bil melonjak terlalu mendadak.

“PPAKK bukan berniat mempertikaikan pihak berkenaan tetapi kami merayu kepada mereka supaya menyemak semula tarif elektrik itu kerana tidak mahu ada lagi pengilang lain yang bakal gulung tikar,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud