ARTIKEL SEBELUM

18/10/13

'hijrah keluar Malaysia' Pemimpin BN Sabah, Sarawak selar (ISMA)

Pemimpin BN Sabah, Sarawak selar gesaan 'hijrah keluar Malaysia' 

KUALA LUMPUR: Pemimpin kanan Barisan Nasional Sabah dan Sarawak menyelar kenyataan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman yang menggesa mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Herald The Catholic Weekly supaya pindah berhijrah ke luar negara.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata kenyataan itu satu provokasi dan tidak patut diucapkan.

“Ini kata-kata yang ada unsur provokasi dan tidak sepatutnya diucapkan terutama ketika Perdana Menteri menganjurkan kesederhanaan sebagai antara tonggak tranformasi ke arah Malaysia yang lebih baik dan bersatu dalam kepebagaian," kata Pairin seperti dipetik oleh The Borneo Post.

Abdullah Zaik dalam satu kenyataan sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin lepas meminta masyarakat Kristian agar menjaga keharmonian hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

Katanya, sebagai warganegara mereka harus akur dengan kedaulatan Islam, ketinggian hukum dan syiar Islam di negara ini.

“Tindakan mencabar hakikat tersebut boleh menjejaskan kesetiaan mereka kepada raja dan negara.
“Mereka boleh buat pilihan lain untuk berpindah ke mana-mana negara kalau sudah tidak lagi boleh menerima kedaulatan Islam dan raja yang menjaga kedaulatan agama itu,” katanya dalam kenyataan media itu.

Mengulas lanjut kenyataan berkenaan, Pairin menyeru masyarakat Kristian terutamanya di Sabah dan Sarawak supaya bertenang dan tidak terpengaruh dengan retorik isu kalimah Allah.

Beliau juga meminta mereka supaya jangan salah anggap dengan isu itu kerana keputusan mahkamah hanya menyentuh soal penggunaan kalimah Allah dalam The Herald.

Pairin dalam pada itu terkilan isu itu telah dibawa ke mahkamah kerana berpendapat ia bukan isu perundangan tetapi isu agama yang melibatkan soal falsafah dan pendekatan akal budi.

"Kerajaan Persekutuan melalui Penyelesaian 10 Perkara setuju bahawa Sabah dan Sarawak boeh menggunakan kalimah Allah.

"Kita menggunakannya dengan cara yang wajar. Kita juga patut berterimakasih atas jaminan kerana ia tidak terbatal dengan (keputusan mahkamah)," kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr. James Jemut Masing menyifatkan golongan ekstremis yang menggunakan pendekatan "tidak setuju, keluar Malaysia" itu harus ditangani dengan undang-undang sedia ada.

Beliau menyifatkan kelompok itu sebagai "makhluk asing" yang tidak cocok dengan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama.

“Kalau kita negara yang hanya ada satu kumpulan etnik, bolehlah cakap macam itu. Tetapi kita negara pelbagai kaum dan pemimpin tidak wajar bercakap seperti itu," katanya seperti dipetik oleh The Borneo Post.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak itu bagaimanapun tidak puas hati dengan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa kabinet pada Rabu memutuskan orang Kristian di Sabah dan Sarawak boleh terus menggunakan kalimah Allah.

Ini kerana jaminan itu hanya di Sabah dan Sarawak tetapi tidak di Semenanjung Malaysia dan beliau mengulangi kenyataannya bahawa Malaysia akan jadi "sebuah negara dengan dua tafsiran agama (Kristian)".

“Bagaimanapun, kalau kita boleh terima dan kita boleh kekal hidup aman damai antara satu sama lain, biarlah.

"Bagi saya apabila akal manusia yang terhad cuba mentafsirkan kehendak Tuhan, kita akan gagal dan itulah titik mula perbezaan dan masalah agama kita," katanya.

Kenyataan Abdullah Zaik mendapat kritikan keras di kalangan masyarakat Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak kerana menambah kekecewaan mereka selepas keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin lepas.

Mahkamah Rayuan pada Isnin lepas sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pertikaian penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan mingguan Katolik, Herald.

Tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan yang baru dilantik, Datuk Mohamed Apandi Ali berpendapat larangan yang dikenakan oleh Kementerian Dalam Negeri ke atas Herald tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah itu juga berpendapat kalimah Allah bukanlah bahagian penting dalam amalan dan kepercayaan Kristian, dan membenarkan Herald menggunakan kalimah Allah akan mencetuskan mudarat kerana ia boleh mengelirukan masyarakat. - AA

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud