ARTIKEL SEBELUM

16/10/13

Exco Selangor pertahan Khalid

Exco Selangor, Sallehen Mukhyi hari ini menafikan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Menteri Besar Selangor gagal menguruskan simpanan rizab negeri itu.

Bercakap kepada sebuah portal, Sallehen sebaliknya menggambarkan teguran terbuka Anwar kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu sebagai tidak tepat.

Bahkan menurutnya, Khalid telah menjalankan tugas dengan baik, tidak seperti yang digambarkan oleh Anwar.

"Kalau komen itu dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat PKR, Tan Sri Khalid juga sebagai PKR, itu saya fikir komen dalaman rumahtangga merekalah.

"Tetapi Khalid tanggungjawab sebagai Menteri Besar dan saya sebagai Exconya, saya melihat untuk membuat keputusan perbelanjaan, saya sebenarnya tidak bersetuju kalau disebut bahawa Tan Sri Khalid tidak membelanjakan hasil negeri," katanya.

Sallehen yang memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Permodenan dan Pembangunan Desa menambah, Khalid seorang yang berhati-hati dalam mengeluarkan perbelanjaan daripada hasil negeri.

"Bukan Tan Sri Khalid tidak membelanjakan tetapi perbelanjaan itu dibuat dalam keadaan yang penuh berhati-hati dan penuh berhemah.

"Jadi sikap berhati-hati itulah boleh jadi dilihat sebagai satu yang nampaknya Tan Sri Khalid agak perlahan atau pun kurang membelanjakan kewangan negeri," kata Adun Sungai Besar itu lagi.

Anwar ketika menyampaikan ceramah Laporan Audit Negara menegur Khalid agar tidak lagi berbangga dengan simpanan rizab yang tinggi bernilai hampir RM3 bilion walhal masih banyak rakyat negeri itu tercicir daripada mendapat bantuan kerajaan negeri.

Kenyataan Anwar disokong Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali. Katanya Anwar terpaksa berbuat demikian setelah teguran dalaman demi teguran dalaman tidak diendahkan Khalid.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud