ARTIKEL SEBELUM

22/10/13

3 lelaki ugut timbalan menteri ditahan Polis

SHAH ALAM - Polis menahan tiga lelaki dipercayai suspek kes menghantar dua khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Kedua, P. Kamalanathan pada 16 Oktober dan semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang suspek dilakukan semalam pada pukul 5.15 petang di sekitar Hulu Selangor manakala dua lagi ditahan kira-kira 4.50 pagi ini di kawasan Tanjung Malim.

"Hasil daripada dua tangkapan itu, polis turut merampas 10 unit telefon bimbit pelbagai jenama," katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua lelaki berumur antara 35 dan 43 tahun itu direman sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Dalam SMS ugutan itu, mereka mendakwa kumpulan kongsi gelap.

Mohd Shukri dalam pada itu, turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menghantar SMS berbaur ugutan bagi apa juga tujuan kerana polis mempunyai kepakaran mengesan penghantar mesej terbabit.

Sementara itu, dalam kes berasingan beliau berkata polis menahan tiga lelaki dipercayai dalang sindiket pecah rumah dalam dua serbuan berasingan di sebuah rumah di Taman Bukit Serdang dan sebuah premis servis kereta di Taman Salak Jaya, Seri Kembangan pada Jumaat lepas.

Katanya tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 29 tahun, berada dalam keadaan mencurigakan yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kawasan perumahan Taman Bukit Serdang.

"Anggota kita yang sedang melakukan Ops Lejang ternampak suspek dan selepas melakukan intipan serta sebaik menghampirinya, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif namun berjaya ditahan," katanya.

Mohd Shukri berkata susulan daripada itu, polis menahan dua lagi suspek di sebuah premis servis kenderaan dan menahan dua lelaki berumur 28 dan 35 tahun yang merupakan rakan kepada suspek pertama.

"Polis merampas pelbagai barangan termasuk peralatan pecah rumah manakala kenderaan MPV yang digunakan suspek pertama dilaporkan hilang pada Ogos 2012 di kawasan Kajang," katanya.

Beliau berkata dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka yang positif ujian dadah itu ditahan reman sehingga esok. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud