KUALA LUMPUR - Seorang peniaga jualan langsung menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini berhubung kes ugutan bunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata suspek berusia 33 tahun itu menyerah diri kira-kira pukul 9.30 pagi ini.
"Suspek itu datang seorang diri untuk serah diri, dan kami telah hantar suspek itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan lanjut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Negeri Sembilan dan menetap di Melaka itu tiada rekod lampau.
Peniaga itu didakwa mengeluarkan komen dalam laman sosial Facebook di bawah nama Murugan Nagaretinam dengan menulis: "can anyone just hire gunman to shoot down this police or igp?" semasa memberi komen dalam laman sosial kawannya mengenai kejayaan polis menembak mati dua lelaki dipercayai anggota kongsi gelap Geng 36.
Berikutan kenyataan itu, satu laporan polis dibuat oleh pihak polis di IPD Dang Wangi di sini semalam. - Bernama