Lebih setahun selepas filem 'Tanda Putera' terpalit kontroversi apabila laman sosial Facebooknya mendakwa pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang kencing di satu tiang bendera, akhirnya ia mengakui itu adalah satu kesilapan.
Dalam entri terbarunya semalam, laman sosial filem yang memaparkan tragedi 13 Mei 1969 meletakkan kesilapan itu kepada seorang pengendali muda media sosial filem tersebut.
"Admin (pengendali) masa itu, kawan kita gak (juga) terima link (pautan) dari pengunjung yang hantar gambar Lim Kit Siang dan kapsyen salah.
"Admin (pengendali) muda kita pun bukan sengaja, dia ingat benda itu betul, dia upload (muatnaik)," kata masukan FB terbaru itu.
Kapsyen gambar pada masa itu mendakwa Lim kencing pada tiang bendera di luar rumah menteri besar Selangor pada masa itu, Datuk Harun Idris.
Dalam kenyataan dalam laman sosial filem itu, gambar itu telah dibuang setelah menyedari kesilapan dan pengendali serta penerbit telah memohon minta maaf tanpa mengkhususkan kepada siapa.
"Tapi kami diminta buat ucapan mohon maaf itu dalam facebook. Tak ada masalah, kami akan lakukan. Gambar serta caption (kapsyen) tersebut bukan ciptaan kami tapi dihantar kepada kami," kenyataan itu dipetik.