SHAH ALAM – Sekretariat Ulama Muda Malaysia (ILMU) meminta isu status Facebook yang membandingkan pihak yang mendapat subsidi daripada kerajaan dengan babi, yang ditulis oleh seorang ahlinya tidak dibangkitkan lagi.
Pengerusinya, Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, beliau sudah menegur penulis status itu, Abu Abdillah Riduan Khairi serta bertanya apa kewajaran untuk dia menggunakan perbandingan tersebut.
"Walaupun dia ahli ILMU tapi status itu tidak ada kena mengena dengan kita (ILMU). Kita pun tidak setuju dia gunakan istilah itu (babi) untuk dibandingkan dengan manusia. Saya sendiri sudah tegur dia," katanya, semalam.
Ditanya apakah status berkenaan bermaksud untuk menyokong kenyataannya sebelum ini yang mengatakan dalam sistem pemerintahan Islam tidak ada subsidi yang perlu dikeluarkan oleh pemerintah kepada rakyat, Fathul Bari berkata: "Ya!"
"Apa yang saya maksudkan adalah tidak ada subsidi pukal iaitu subsidi yang dikeluarkan oleh kerajaan kepada semua peringkat dalam masyarakat secara pukal, tidak kira yang kaya atau miskin, semua dapat merasa subsidi, itu yang saya maksudkan tidak ada dalam Islam.- SH