Islam tidak dihina dengan video "Selamat Hari Raya" yang dibuat oleh pelatih anjing Maznah Yusof atau dikenali sebagai Chetz, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini, serta tidak bersetuju jika hukuman dijatuhkan secara melulu.
Ketua Penerangan PAS itu berkata tindakan Maznah dalam video itu tidak bertujuan untuk menghina Islam tetapi sebaliknya hanya menunjukkan ketaksuban beliau yang menyayangi haiwan berkenaan.
"Islam tidak terhina kerana video Chetz, kerana ia tidak bertujuan begitu," katanya dalam satu kenyataan hari ini."Video memuatkan video itu juga bukan untuk menghina sesiapa, tapi kerana ketaksuban beliau dalam menyayangi anjing sehingga seolah-olah beliau inginkan anjingnya dimuliakan sama dengan kita memuliakan manusia," katanya yang menegaskan masalah itu boleh diselesaikan tanpa mengenakan sebarang hukuman.
"Pelatih anjing Maznah "Chetz" Yusof perlu dididik bukannya dihukum,” katanya.
Tuan Ibrahim juga membidas kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam yang mengatakan perbuatan Maznah dianggap menghina Islam kerana ia menyentuh soal ibadat dengan najis mughalazah (berat) apabila disentuh dalam keadaan basah.
"Harus diingat memegang anjing bukan suatu dosa walaupun ia adalah najis mughalazah.
"Perkara ini boleh dididik apabila mendapati ada umat yang jahil mengenainya, tapi jangan sesekali disamakan kelakuan jahil itu dengan niat menghina Islam," katanya.
Beliau juga mempersoalkan isu ini diperbesarkan oleh pihak berkuasa terutama ketika bulan Ramadan.
"Jika binatang yang dipilih Chetz ialah kucing, dan bukannya anjing, sudah tentu Chetz tidak dicemuh sebegitu rupa. Salahkah Chetz lebih menyayangi anjing?" katanya.
Tuan Ibrahim juga hairan mengapa tindakan Maznah itu dianggap sebagai menghina Islam walhal pemimpin kerajaan pemerintah secara jelas menghina Islam secara terbuka tidak pula diambil tindakan.
"Sudah tentu rakyat masih ingat bagaimana tiada reaksi pelbagai institusi agama yang kini mengecam Chetz terhadap segelintir pemimpin BN, seperti Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang pernah menghina Islam," katanya.
Maznah mencetuskan kontroversi apabila video yang memaparkan aksinya tiga tahun lalu menyambut Aidilfitri bersama tiga anjingnya dimuat naik dalam YouTube.
Video itu juga menyiarkan kata-kata: "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing itu)."
Tidak lama selepas itu, video termasuk mendapat perhatian pihak berkuasa dan Maznah telah ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat selama dua hari untuk soal-siasat sebelum dibebaskan pada Jumaat lalu.-TMI