ARTIKEL SEBELUM

21/08/13

K'jaan akan ambil alih AES


Kerajaan akan mengambil alih operasi dan penguatkuasaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) setelah mendapat maklum balas daripada jawatankuasa Pemandu yang bertanggungjawab menentukan hala tuju dan perluasan pelaksanaan AES.

Jawatankuasa yang dianggotai agensi termasuk dari Kementerian Kewangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Peguam Negara, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Pemandu, dan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dipengerusikan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata jawatankuasa tersebut memulakan perbincangan sejak dua hari lepas dengan setiap agensi melihat tanggungjawab dan isu-isu berkaitan dengan mereka.

"Sebagai contoh isu kewangan dilihat oleh Kementerian Kewangan, isu saman oleh Jabatan Peguam Negara dan isu penguatkuasaan oleh JPJ dan PDRM.

"Maklum balas daripada mereka akan dibawa ke jawatankuasa induk supaya butiran lebih terperinci akan diperolehi," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

Hishammuddin berkata, kini sudah banyak penambahbaikan AES berbanding sebelum.

"Apa yang penting adalah matlamat asal kita untuk memastikan kemalangan sifar dan tempat-tempat yang kita letak AES, jumlah kemalangan adalah sifar tetapi tetap ada belenggu isu AES untuk kepentingan pihak tertentu dan perkara ini akan kita tangani," katanya yang juga menteri pertahanan.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin meminta semua perwakilan yang ingin bertanding dalam pemilihan Umno akan datang supaya tidak buat sesuatu perkara yang boleh memecahbelahkan parti.

Menyentuh isu lain, Hishammuddin juga menyokong keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak menswastakan Malaysian Airline System Bhd (MAS) kerana jika ia digembleng secara betul semua pihak akan mendapat manfaat.

"Minggu depan saya akan berjumpa dengan Union Mas dan perwakilannya untuk mendengar keluhan mereka dan melihatnya secara menyeluruh," kata beliau.

-Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud