Anggota Parlimen Seputeh daripada DAP Teresa Kok hari ini membuat laporan polis ekoran tulisan di sebuah blog yang menurutnya berniat jahat, berbentuk hasutan dan menimbulkan kebencian terhadapnya.
Beliau mendesak polis menyiasat tulisan berjudul "Cina pun mahu duit zakat - Teresa Kok" yang disiarkan dalam www.bnbesut.blogspot.com antara 4 dan 5 Ogos.
Tulisan itu kemudiannya dikongsi meluas di laman sosial Facebook, katanya.
"Ini fitnah jenayah... pihak polis harus menyiasatnya. Ia juga satu bentuk hasutan kerana membuatkan orang Islam marah pada saya," kata Kok .
Kok berkata, beliau mengambil "langkah pencegahan" bagi mengelakkan polis mencarinya seperti yang berlaku pada 2008.