ARTIKEL SEBELUM

2/08/13

Azizan masih Adun Sungai Limau

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak masih Adun Sungai Limau, dan setakat ini tidak pernah menandatangani mana-mana surat peletakan jawatan Adun Sungai Limau.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun Azizan belum dapat melaksanakan tugas sebagai Adun selepas memenangi kerusi itu dalam PRU13, 5 Mei lalu, itu bukan alasan pihak tertentu yang cuba memanipulasi keadaan.

“Walaupun Azizan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) hampir tiga bulan dan belum angkat sumpah jawatan Adun, Azizan tetap Adun Sungai Limau berdasarkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Menurutnya, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah yang dirujuk oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, tempoh berakhir untuk Azizan mengangkat sumpah jawatan adalah sebelum 23 September ini.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditanya ura-ura mengatakan Azizan sudah melepaskan jawatan sebagai Adun Sungai Limau dengan menandatangani dokumen berkaitan.

Mengulas situasi Azizan untuk kembali berkhidmat selepas sihat sepenuhnya, Muhammad Sanusi yang juga bekas Setiausaha Politiknya berkata, perkara itu akan dirujuk kepada Pas Kedah dan Pusat untuk tindakan lanjut.

“Selepas Azizan keluar wad, Pas Kedah dan Pusat akan bincang dan putuskan sama ada beliau masih berupaya laksana amanah untuk berkhidmat sebagai Adun Sungai Limau.

Keputusan bersama itu akan diputuskan kelak.

“Kita kena lihat dahulu kemampuan Azizan termasuk tahap kesihatan dan kesediaan beliau sendiri untuk pikul amanah itu. Kita tak boleh paksa beliau teruskan khidmat jika tidak upaya mahupun paksa beliau lepaskan jawatan,” katanya.

Mengulas dakwaan Azizan ada menandatangani surat meletakkan jawatan, Muhammad Sanusi berkata, ia tiada kaitan dengan jawatan Adun.

“Memang beliau sudah lepaskan jawatan, tetapi dalam pentadbiran dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), antaranya Pengerusi Syarikat Air Darul Aman (Sada) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Insaniah,” katanya.

Itu pun, katanya, Azizan tidak menandatangani, sebaliknya hanya menggunakan cap jari sebagai pengesahan diri.

“Tangan beliau masih lemah untuk berurusan surat menyurat seperti menulis atau tandatangan dokumen yang banyak. Untuk mudahkan semua pihak, kita guna cap jari,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berkata, keadaan Azizan kini bertambah baik dan semakin pulih.

“Luka pada bahagian kaki yang dipotong juga sudah kering dan makin baik, beliau juga dilihat lebih segar dan bertambah sihat,” katanya.

Azizan dipotong kedua belah kakinya kerana mengalami komplikasi diabetis yang kronik 10 Mei lalu.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud