ARTIKEL SEBELUM

31/08/13

Anwar: ‘Saya sudah tonton Tanda Putera’

PETALING JAYA - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sudah menonton sedutan filem kontroversi, Tanda Putera, dan pada pandangannya ia tidak menarik sangat.

"Saya tonton filem suka-suka dan bukannya serius seperti Sanggam (filem Hindi tahun 1964),” katanya ketika menyampaikan perutusan Hari Merdeka kali ke-56, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan Pulau Pinang yang menasihatkan pengusaha pawagam di negeri itu tidak menayangkan filem Tanda Putera.

Anwar, yang juga Ketua Umum PR berkata, beliau sendiri tidak bersetuju dengan saranan yang dikemukakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Tetapi beliau hanya menasihatkan, bukan melarang penayangan Tanda Putera.

“Di negara merdeka, sesiapa sahaja berhak memberi pandangan,” katanya.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melalui status terbaru di laman sosial Facebooknya berkata, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah diminta untuk memastikan tayangan filem itu di Pulau Pinang diteruskan.

Katanya, filem tersebut akan ditayangkan di pawagam di Pulau Pinang mulai Sabtu ini.

Sebelum ini, Guan Eng telah mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan telah meminta pengusaha pawagam di negeri itu untuk tidak menayangkan filem yang disifatkan pembangkang sebagai kontroversi.

Namun, Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia berupa nasihat dan bukannya larangan.

Sementara itu, Anwar menambah. apa yang beliau kesalkan ialah filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu seolah-olah mempromosikan agenda BN.

“Pengarahnya sendiri mengakui filem berkenaan bergenrekan fiksyen.

"Filem itu dilihat memainkan sentimen kaum dan tidak perlu filem berkenaan dipaparkan kepada generasi muda, terutama mereka yang mengikuti kursus Biro Tata Negara, bagi menggambarkan kisah sebenar peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969," katanya.

Anwar berharap orang ramai faham bahawa filem Tanda Putera itu adalah agenda BN dan digunakan semata-mata bagi menyampaikan agenda politik sempit pemimpin BN.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud