ARTIKEL SEBELUM

29/07/13

Polis memburu dua pelajar

KUALA TERENGGANU - Polis kini memburu dua pelajar tingkatan lima di Besut kerana disyaki membaling mercun kepada dua kanak-kanak di kampung Gong Manok, Besut Rabu lepas.

Kejadian pada pukul 9.20 malam itu menyebabkan dua beradik berusia tiga dan tujuh tahun itu cedera di bahagian mata, paha dan kaki kanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K.Manohanaran berkata dua pelajar yang menaiki motosikal membaling mercun itu ketika dua beradik berkenaan bersama dua lagi abang mereka bermain basikal di halaman rumah mereka.

"Pembonceng motosikal terbabit menyalakan mercun bola dan membalingnya ke arah empat beradik itu...mercun itu jatuh berhampiran kedua kanak-kanak itu.

"Kami sudah mengenal pasti kedua-dua suspek yang berusia 17 tahun itu dan mereka dipercayai tinggal sekampung dengan mangsa. Gerakan memburu sedang giat dijalankan," katanya kepada pemberita di sini.

Manoharan berkata kanak-kanak lelaki yang berusia tiga tahun cedera parah di bahagian mata kanan dan paha manakala kakaknya yang berusia tujuh tahun cedera di kaki kanan.

Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan keadaan mereka dilapor stabil, katanya. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud